Bayern Munich. Sebut saja nama kelab ini pasti semuanya tahu betapa besarnya nama mereka dalam bola sepak Jerman.
Besarnya nama mereka sehingga ianya menjadi destinasi pilihan bagi sesiapa sahaja untuk bermain dengan mereka.
Dominasi Bayern di Bundesliga terlalu kuat, hinggakan kini liga tersebut dikenali sebagai ‘Bayernliga’ dalam kalangan penyokong bola sepak.
Barangkali bosan kerana tiada juara baharu, maka timbullah nama tersebut.
Dominasi Bayern juga turut dikaitkan dengan gerak kerja yang gemar menyambar pemain-pemain terbaik dari pasukan lawan untuk melemahkan mereka.
Perkara ini dapat dilihat di peringkat senior apabila Bayern gemar mendapatkan pemain-pemain handalan dari lawan mereka seperti Manuel Neuer (Schalke 04), Mario Gotze (Borussia Dortmund) dan Dayot Upamencano (RB Leipzig).
Tetapi di peringkat bawah umur juga, Bayern tetap melakukan modus operandi yang sama dengan cuba ‘membawa lari’ bakat-bakat muda dari kelab lain untuk menyertai mereka.
Kejar dari usia 13 tahun
Menurut pemain Hertha Berlin, Lukas Michelbrink mendedahkan yang betapa rimasnya gangguan yang diberikan oleh Bayern terhadap dirinya dan rakan sepasukannya.
Kata Michelbrink, dia dan beberapa rakan sepasukan berjaya mendapat perhatian Bayern dan kelab itu mahukan khidmat mereka.
Namun begitu, cara mereka untuk memastikan perpindahan dari Hertha ke Bayern itu terjadi begitu merimaskan sehinggakan Michelbrink rasa terganggu.
Lebih parah, ianya dilakukan sejak pada mereka berada dalam skuad B-13 Hertha lagi.
“Bayern sememangnya merimaskan. Mereka cuba untuk mendapatkan saya dan beberapa yang lain dalam skuad B-13.
“Mereka menelefon ibu saya setiap dua minggu dan berkata yang kami perlu mengambil masa untuk tengok ‘projek’ yang mereka rancangkan,” ujar Michelbrink.
Bayern einfach übel nervig man. In der u13 schon versucht mich und paar andere von uns abzuwerben. Haben alle 2 Wochen meine Mutter angerufen und gesagt wir sollen uns das “Projekt” doch wenigstens mal anschauen
— Lukas Michelbrink (@Lukas_mi_) July 4, 2022
Michelbrink mendedahkan perkara itu selepas beliau menjawab sebuah ciapan dari akaun peminat Hertha.
Ianya berpunca dari reaksi Michelbrink apabila Bayern berjaya mendapatkan pemain remaja Hertha iaitu Noel Aseko yang berusia 16 tahun.
— Lukas Michelbrink (@Lukas_mi_) July 4, 2022
Michelbrink adalah pemain remaja Herta yang beraksi sebagai pemain tengah menyerang.
Hertha Berlin musim ini menamatkan saingan Bundesliga ditangga ke-16 dan perlu mengharungi perlawanan relegation play-off untuk kekal di saingan utama Jerman.
Mereka memenangi perlawanan tersebut dan berjaya kekal di Bundesliga untuk musim hadapan.