Pemain muda berpotensi khususnya skuad B-17 negara kini berpeluang menjalani latihan bersama gergasi Serie A Itali, Juventus.
Perkara itu bakal direalisasikan selepas delegasi gergasi dari Turin itu melawat Wisma FAM di Kelana Jaya dan melakukan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, semalam.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan FAM pada hari ini, Juventus dilaporkan sedang meninjau potensi jalinan kerjasama dua hala bertujuan memperkasakan lagi bola sepak terutama di peringkat akar umbi serta belia di negara ini.
Hadir dalam pertemuan tersebut adalah Pengarah Urusan kelab, Federico Palomba dan Pengurus Jualan Kerjasama, Kelvin Leung.
Juventus FC Tinjau Potensi Kerjasama Dengan FAM
Baca Selanjutnya di:https://t.co/WaYe2cIfBe#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/EWMuxcsaYO
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) April 26, 2022
“Juventus berminat dan meninjau peluang untuk bangunkan program pertandingan bola sepak di peringkat junior.
“Kerjasama ini berpotensi membawa manfaat kepada bola sepak Malaysia. Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia.
“Mereka juga bercadang beraksi dalam perlawanan pertunjukan di negara kita dalam tempoh di antara Disember 2022 dan Julai 2023.
“Juventus FC juga inginkan Malaysia membuat kunjungan balas bagi meninjau kemudahan ke ibu pejabat dan fasiliti serba lengkapnya di Turin,” kata Datuk Haji Hamidin selepas menerima kunjungan hormat itu.
Hasil perbincangan awal itu juga, Juventus dilaporkan turut berminat membuka akademi di negara ini.
“Pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan masing-masing dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus.
“Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus FC dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah,” katanya lagi.