Jika Kedah Darul Aman mahu memintas Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC, mungkin inil adalah masanya. Walaupun mungkin hanya seketika, namun ia sudah cukup untuk memberikan rasa bersemayam di atas takhta.
Musim lalu, tiada mana-mana pasukan mampu memintas JDT saat mereka bertakhta di puncak liga bermula pada minggu kedua Liga Super. Begitu juga pada musim sebelumnya, JDT terus menerajui puncak liga bermula pada minggu ketiga liga sehingga akhirnya telah diangkat sebagai juara pada penghujung musim tersebut.
Pada musim ini, sejak dari minggu pertama lagi Harimau Selatan sudah berada di tangga teratas sehingga minggu ke-6. Dan dengan penundaan perlawanan mereka disebabkan terlibat dalam saingan AFC Champions League (ACL) 2022, inilah yang perlu direbut pasukan lain terutamanya pencabar kejuaraan liga, Kedah.
📊 KEDUDUKAN – LS6#LigaSuper2022 pic.twitter.com/betqkVUXUU
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 29, 2022
Menambahkan lagi peluang mereka adalah apabila aksi melibatkan pasukan kedudukan kedua, Sabah juga ditunda. Perlawanan The Rhinos menentang Selangor FC telah ditunda disebabkan ada beberapa pemain The Red Giants yang terlibat dengan pertandingan Sukan SEA 2021 yang bakal berlangsung di Vietnam, minggu ini.
Pada 22 April lalu, setelah perbincangan dibuat, operator Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan penundaan aksi minggu ke-7 hingga ke-10 melibatkan beberapa pasukan bagi memberikan laluan kepada persiapan skuad senior dan skuad B-23 negara yang akan mengharungi kejohanan antarabangsa.
Hanya Kedah mampu memintas kedudukan JDT pada ketika ini sebelum Harimau Selatan kembali ke saingan tempatan bermula pada minggu ke-8. JDT baru sahaja selesai dengan saingan peringkat kumpulan ACL 2022. Dan aksi peringkat kalah mati – yang turut melibatkan mereka hanya akan bermula pada pertengahan Ogos.
Kedah akan melayan kunjungan Melaka United di Stadium Darul Aman pada Jumaat dan keputusan seri sudah memadai untuk melonjakkan mereka ke puncak liga buat sementara. Namun, tiga mata akan lebih membantu kukuhkan kedudukan Sang Kenari dan tentunya akan memberi ruang buat mereka bersemayam sedikit lama.
Begitupun, ia bergantung kepada aksi minggu ke-8, JDT berdepan Negeri Sembilan pada minggu hadapan.
Selain itu, dua lagi perlawanan yang akan berlangsung adalah Negeri Sembilan berkunjung ke Kuching untuk berdepan Sarawak United dan KL City FC berdepan Sri Pahang di Stadium KLFA, Cheras. Semua perlawanan telah kembali ke masa sepak mula asal sebelum bulan Ramadan – yang dilangsung pada jam 10 malam.