Akhirnya konflik yang tercetus sebelum aksi kelayakan Kejohanan B-23 AFC 2018 selesai apabila ketua jurulatih skuad B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee telah memanggil semula pemain-pemain yang gagal mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing.
Mereka akan menyertai kem latihan pusat fasa akhir Skuad Projek Sukan SEA 2017. Mereka adalah penjaga gol, Haziq Nadzli dan Safawi Rasid (JDT), Syamer Kutty Abba dan S Kumaahran (Pulau Pinang) serta Matthew Davies dan Nor Azam Azih (Pahang).
Ini adalah peluang kedua buat pemain-pemain tersebut untuk kembali memujuk dan memikat hati Kim Swee agar mereka tersenarai dalam senarai akhir 20 pemain untuk ke Sukan SEA yang dijangkakan akan diumumkan pada 12 Ogos nanti.
Tidak dinafikan keenam-enam pemain tersebut adalah antara pemain muda yang menyerlah dalam aksi liga dan kehadiran semula mereka pasti akan kembali mengukuhkan Skuad Projek Sukan SEA.
Oleh itu, harapan pemain sayap JDT, Safawi Rasid untuk kembali beraksi bersama skuad B-22 kebangsaan akhirnya telah ditunaikan oleh Kim Swee.
Pemain berusia 20 tahun itu adalah antara bintang muda yang dijangkakan akan menyinar dalam Sukan SEA 2017 dan sekiranya berjaya tersenarai dalam senarai akhir 20 pemain, pastinya Safawi akan mempamerkan kemampuannya sebagaimana dalam aksi liga.
Malam tadi, laman sesawang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menyiarkan senarai 27 pemain yang telah dipilih oleh Kim Swee untuk kem latihan pusat fasa akhir Sukan SEA.
Di dalam senarai tersebut, kapten Pahang, Matthew Davies dan lima lagi tunjang skuad Sukan SEA pada edisi 2015 turut tersenarai iaitu Syafiq Ahmad, Ariff Farhan Md Isa, Amirul Hisyam Awang Kechik (Kedah), Adam Nor Azlin (Selangor) dan S Kumaahran (Pulau Pinang).
Sementara itu, empat pemain daripada skuad kelayakan Kejohanan B-23 AFC 2018 yang beraksi cemerlang di Bangkok, Thailand, tempohari iaitu Ahmad Solehin Mamat (Kuala Lumpur), L Kalaiharasan dan Fauzan Fauzi (Negeri Sembilan) serta Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak) telah digugurkan oleh Kim Swee.
Menurut beliau, ini adalah barisan terbaik yang beliau dapat kumpulkan berbanding skuad 22 pemain yang beraksi di Bangkok, tempohari.
“Saya akan menggunakan tempoh seminggu ini untuk menilai 27 pemain ini bagi memastikan setiap posisi itu harus mempunyai pemain utama dan pemain pengganti kerana kita tahu yang jadual Sukan SEA 2017 begitu padat,” jelas Kim Swee di laman sesawang FAM.
“Jadi saya perlu memikirkan dari segi kecergasan pemain di mana 20 pemain yang akan dipilih nanti perlu bersedia untuk diturunkan pada setiap perlawanan jika kita layak sehingga ke final,” tambahnya lagi.
Kesemua 27 pemain yang tersenarai perlu melaporkan diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Ahad ini sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2017 dari 14 hingga 29 Ogos 2017.
Skuad Projek Sukan SEA diletakkan dalam Kumpulan A dan bakal membuka kempen berdepan Brunei pada 14 Ogos diikuti aksi bertemu Singapura (16 Ogos), Myanmar (21 Ogos) dan Laos (23 Ogos).
Berikut adalah senarai 27 pemain Skuad provisional Malaysia untuk SUkan SEA:
Penjaga Gol: Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), Haziq Nadzli (JDT), Amierul Hakimi Awang (Terengganu)
Pertahanan: Matthew Davies (Pahang), Dominic Tan (JDT), Adib Zainudin (Felcra FC), Adam Nor Azlin (Selangor), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Raphi Azizan Mariappen (PJ Rangers FC), Syazwan Zaipol Bahari (PKNP FC)
Tengah: Amirul Hisyam Awang Kechik, Ariff Farhan Md Isa (Kedah), Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Syahmi Safari (Selangor), Nor Azam Azih (Pahang), Danial Amier Norhisham, Ahmad Azriddin Rosli (Felda United), Danial Ashraf Abdullah (Kelantan), Syazwan Andik Ishak (JDT II), Tommy Mawat Bada (Sarawak)
Penyerang: Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad (Kedah), Jafri Firdaus Chew, S Kumaahran (Pulau Pinang), Safawi Rasid (JDT), N Thanabalan (Felcra FC), Sean Eugene Selvaraj (Negeri Sembilan)