Peluang Bintang Sabah Sertai Kelab Di Eropah Terbuka?

Penyerang import Sabah dari Indonesia, Saddil Ramdani dilihat berpeluang untuk mengikut jejak beberapa rakannya yang beraksi di Eropah setelah peluang itu kini terbuka.

Saddil yang beraksi cemerlang sejak beberapa musim ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) dilihat berjaya menarik perhatian beberapa pasukan di Asia dan Eropah untuk mendapatkan khidmat beliau, walaupun pemain itu masih lagi mempunyai kontrak bersama Sabah.

Alexander Talpes selaku ejen rasmi untuk Saddil mengesahkan perkara tersebut, apabila beliau menyatakan beberapa kelab di Eropah kini berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang lincah itu.

Walaupun begitu, beliau menafikan kelab yang dimiliki taikun Indonesia di Itali iaitu Como 1907 turut berminat untuk mendapatkan Saddil ketika ini.

“Betul, Saddil sentiasa bercita-cita untuk beraksi di pentas Eropah. Tetapi sehingga kini kami masih belum tahu apa keputusan yang ingin dikeluarkan Sabah mengenai beliau.

“Ini kerana banyak tawaran kelab-kelab lain yang diterima kerana ingin mendapatkan khidmat Saddil. Tetapi, jelas sehingga kini Como 1907 masih belum memberi sebarang tawaran atau isyarat berminat akan khidmat pemain tersebut, jelas beliau menerusi CNN Indonesia.

Ketika ditanya mengenai pandangan ejen tersebut, Talpes berkata berdasarkan cara Saddil bermain ketika ini, beliau sesuai beraksi di Eropah Timur seperti Serbia.

“Saddil dilihat lebih sesuai untuk beraksi di Balkan terlebih dahulu atau Eropah Timur dengan mencipta nama di situ sebelum menarik minat kelab-kelab lebih besar di sebelah Eropah Barat,” ujar Talpes.

Untuk rekod, kontrak Saddil bersama Sabah bakal tamat pada bulan November setelah dilanjutkan oleh pasukan tersebut pada 29 Julai lalu.

Saddil pada musim ini sudah terlibat dalam 16 perlawanan bersama Sabah dalam semua kejohanan disertai kelab tersebut dengan empat gol telah diledak oleh pemain tersebut.

Dengan saingan liga masih lagi berbaki beberapa perlawanan serta Piala Malaysia yang bakal menjengah tidak lama lagi, Saddil berkemungkinan bakal terus menambah koleksi gol beliau bersama pasukan.

Saddil pada asalnya sudah mendapat satu tawaran daripada sebuah kelab di Serbia iaitu Novi Pazar pada awal tahun ini, namun proses perpindahan beliau tidak dapat dilaksanakan setelah Sabah meletakkan klausa perpindahan agak tinggi untuk dibayar pasukan tersebut.

Pada masa sama, isu yang tular di media sosial mengenai perpindahan Saddil ke Itali bersama Como 1907 dilihat lebih kepada sebuah ‘rumour’ sahaja, setelah tidak ada bukti jelas serta Saddil sendiri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Jika Saddil berpeluang beraksi bersama Como 1907, pemain ini berpeluang untuk bekerjasama dengan bekas bintang bola sepak dunia seperti Cesc Fabregas serta Thierry Henry, selain bertemu bekas pengendali Sabah iaitu Kurniawan Dwi Yulianto.

Sumber:
CNN Indonesia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN