Pele vs Maradona: Legenda Manakah Yang Terhebat Di Antara Keduanya?

Siapakah pemain bola sepak terhebat yang dunia pernah saksikan? Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi? Diego Maradona atau Pele? Kami pasti anda mempunyai pilihan yang tersendiri. Atau adakah anda sukar untuk melakukan pilihan?

4 nama yang dinyatakan di atas pasti akan meniti mana-mana bibir peminat bola sepak jika soalan mengenai pemain terhebat diajukan.

Lionel Messi (Argentina & Barcelona) dan juga Cristinao Ronaldo (Portugal & Real Madrid) telah membuktikan keupayaan mereka di peringkat kelab. Bagaimanapun kedua-duanya belum pernah memenangi Piala Dunia.

Lupakan Messi dan Ronaldo buat seketika. Kedua-dua pemain ini masih berpeluang untuk memperbaiki rekod dan pencapaian semasa masing-masing di pentas antarabangsa.

Artikel kali ini akan mengimbau kehebatan 2 legenda, Diego Maradona dan juga Pele berdasarkan beberapa statistik ringkas yang kami telah kumpul.

Siapakah yang lebih hebat?

Pele vs Maradona

Mereka adalah legenda silam. Namun kedua-dua pemain adalah dari era yang berbeza. Pele menarik perhatian dunia dengan corak bola sepak ginga pada pertengahan 1950an sehingga lewat 1970an.

Manakala Diego Maradona mulai tampil dengan sentuhan dan larian magisnya pada lewat 1970an sehingga ke pertengahan 1990an. Kedua-duanya menghiasai bola sepak dunia selama 20 tahun.

(Photo credit should read STAFF/AFP/Getty Images)

Pele dilahirkan pada 23 Oktober 1940. Manakala Diego Maradona dilahirkan pada 30 Oktober 1960. Kedua-duanya menjadi tunjang utama pasukan negara masing-masing mencapai kejayaan di Piala Dunia.

Sehingga kini keupayaan Pele dan Maradona sering menjadi penanda aras kepada bakat-bakat baru dalam sukan bola sepak dari kedua-dua buah negara Amerika Latin tersebut. Ramai juga di kalangan mereka yang pernah menjadikan Pele dan Maradona sebagai inspirasi.

(Photo by Mark Leech/Getty Images)

Kedua-dua pemain berkongsi anugerah FIFA Player of the Century ketika ia diumumkan beberapa tahun dahulu. Kedua-duanya juga tidak mempunyai pendapat yang sama jika soalan keupayaan salah seorang dari mereka ditanya.

Ini kerana Pele dan Maradona, masing-masing berpendapat diri mereka lebih bagus daripada satu sama lain.

Siapa yang lebih bagus?

“Jika ia mengikut pendapat saya, Pele adalah pemain kedua terbaik jika dibanding dengan Maradona,” ujar pemain dari Argentina itu.

Pele turut mempunyai pendapat akan seteru pemain terbaik dunianya itu.

“Maradona tidak layak untuk dipertimbangkan sebagai pemain terbaik dunia. Maradona tidak mempunyai kekuatan kaki kanan dan tandukan bukanlah kekuatannya. Satu-satunga gol penting hasil tandukan Maradona ialah jaringan menggunakan tangan ketika menentang England!” ujar Pele.

Kedua-duanya mengaku diri sebagai pemain terbaik dunia. Bagi mereka yang neutral, kedua-dua pemain mempunyai kebolehan dan kekuatan tersendiri.

(Photo by Popperfoto/Getty Images)

Pele boleh menggunakan kedua-dua belah kaki dan seorang penyudah yang klinikal. Jumlah jaringannya ketika masih aktif adalah bukti yang paling mudah.

Namun para pengkritik tetap mempersoalkan era ketika Pele aktif beraksi, di mana bola sepak tidak dimainkan sepantas pada hari ini.

Maradona pula gemar mengawal permainan daripada bahagian tengah. Piala Dunia 1986 adalah kemuncak kehebatan pemain ini. Namun kontroversi dan skandal yang sentiasa menimpa pemain ini akan sentiasa menghantui apa yang beliau pernah capai.

Mari kita imbau sedikit statistik dari kedua-dua pemain.

Pencapaian peringkat antarabangsa

Pele dan Maradona – Rekod Antarabangsa
Pele  Maradona
 

Statistik keseluruhan

Perlawanan 92 91
Gol 77 34
Ratio 0.837 0.374
 

Statistik Piala Dunia

Perlawanan 14 21
Gol 12 8
Bantuan Gol 10 8

Pele mengumumkan ketibaannya di pentas antarabangsa sebagai remaja berusia 17 tahun di Piala Dunia 1958. Beliau dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik kejohanan dan merupakan penjaring kedua terbanyak dengan 6 gol dari 4 perlawanan.

Kemunculan Pele di dua edisi Piala Dunia seterusnya dibayangi dengan kecederaan. Pele hanya tampil dalam satu perlawanan pada Piala Dunia 1962 ketika Brazil bergelar juara,  dan juga pada 1966. Namun kali ini Brazil gagal melepasi peringkat kumpulan.

Pada usia 29 tahun, Pele tampil lebih matang bersama Brazil untuk muncul juara Piala Dunia 1970. Pele bukan sekadar menjaringkan beberapa gol sepanjang kejohanan, namun turut menyumbang beberapa bantuan gol untuk rakan sepasukannya.

(Photo by Schlage/ullstein bild via Getty Images)

Jaringan Carlos Alberto ketika menentang Itali dianggap sebagai salah satu gol terbaik berpasukan, gerakan yang diinspirasikan oleh Pele dalam perlawanan akhir Piala Dunia edisi tersebut.

Maradona melalui mimpi ngeri dalam penampian pertamanya di Piala Dunia bersama Argentina. Hanya menjaringkan 2 gol daripada 4 perlawanan dan dilayangkan kad merah ketika bertemu Brazil dalam perlawanan terakhir pada 1982 sebelum tersingkir.

4 tahun kemudian, Maradona menjaringkan 5 gol termasuk gol menakjubkan, menggelecek beberapa pertahanan England. Maradona turut membantu rakan sepasukannya denga menghasilkan bantuan gol.

Maradona hampir mengulangi pencapaiannya bersama Argentina pada Piala Dunia 1990 namum tewas di perlawanan akhir kepada Jerman Barat.

Piala Dunia 1994 Maradona dipalit dengan skandal doping dan dihantar pulang dari kem Argentina.

Statistik peringkat kelab

Pele dan Maradona – karier kelab
Pemain Kelab Musim Perlawanan Jumlah Gol
Pele              Santos 1956 – 1974 656 643
NY Cosmos 1975 – 1977 107 64
Total 763 707
Maradona Argentinos Juniors 1976 – 1980 166 116
Boca Juniors 1981 40 28
Barcelona 1982/83 – 1983/84 58 38
Napoli 1984/85 – 1990/91 259 115
Sevilla 1992/93 29 8
Newell’s Old Boys 1993/94 5 0
Boca Juniors 1995/96 – 1997/98 31 7
Jumlah 588 312

Hampir keseluruhan karier bola sepak peringkat kelab untuk Pele ialah di negara kelahirannya bersama Santos. Menuju ke penghujung kariernya, Pele berhijrah ke Amerika Syarikat untuk bersama New York Cosmos.

Secara keseluruhan, Pele tampil di dalam 656 perlawanan dan menjaringkan 643 gol untuk Santos. Antara kejuaraan yang dimenanginya bersama di Brazil ialah kejuaraan berganda Copa Libertadores dan Intercontinental Cup pada 1962 and 1963, 6 gelaran Brasileiro Seria A dan 10 kejuaraan Campeonato Paulista.

Karier Diego Maradona bermula bersama Argentinos Juniors di mana beliau bergelar juara Primera Division pada musim ke-5 bersama kelab tersebut sebelum berhijrah ke Boca Juniors.

(Photo credit should read PATRICK KOVARIK/AFP/Getty Images)

Semusim bersama Boca Juniors, Maradona dipancing ke Barcelona untuk rekod perpindahan dunia pada era itu. Musim pertama di Nou Camp, Maradona dan Barcelona memperoleh kejuaraan ‘treble’ dengan gelaran La Liga, Copa Del Rey dan kemudiannya Espanyol Super Cup.

Namun begitu, nama Maradona sangat disanjung selepas berhijrah ke Napoli. Maradona diibaratkan dewa penyelamat bandar Napoli. Prestasi terbaik pemain Argentina ini juga adalah ketika bersama Napoli.

Maradona dan Napoli memenangi kejuaraan Serie A sebanyak 2 kali dan juga bergelar juara Piala UEFA pada 1988/89.

Rumusan

Statistik tidak semestinya akan memberi kisah penuh satu cerita dan perjalanan. Namun demikian, tidak salah untuk kita melakukan perbandingan.

Pele vs Maradona: Legenda manakah yang terhebat di antara keduanya?

Sumber:

1. Adam Bate, Sky Sports (2015): Messi? Ronaldo? Pele? Maradona? Who is the greatest of all-time?; http://www.skysports.com/football/news/11096/9766424/messi-ronaldo-pele-maradona-who-is-the-greatest-of-all-time

2. Carlo Garganese, Goal (2010): Goal.com Special: Who Was Better – Pele Or Maradona?; http://www.goal.com/en/news/1717/editorial/2010/10/21/1476002/goalcom-special-who-was-better-pele-or-maradona

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN