Ketua jurulatih Penang, Zainal Abidin Hassan mengakui pemain masih perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan beberapa perubahan yang dibawanya sejak ditugaskan membimbing pasukan ini pada awal Jun.
Beliau sedar keputusan positif amat diinginkan oleh pasukan apabila masih kemarau kemenangan selepas sembilan perlawanan Liga Super setakat ini.
Namun, perlawanan pertamanya menentang PJ City, Sabtu lalu sejak dia mengambil alih posisi Thomas Trucha berakhir dengan keputusan seri dan bekas pengendali Melaka United ini menganggap barisan pemain masih perlu masa untuk menerapkan perubahan baharu.
“Memang tidak dinafikan senjata sulit Penang lebih kepada Casagrande.
“Benda baik bukan kata kekalkan tetapi kita memperlbagaikan lagi supaya lawan tidak dapat baca dan bukannya mudah untuk ikut seperti saya cakap sebab mereka masih baru dengan saya.
“Mereka cuba juga buat sesuatu yang baru dan juga menggunakan senjata yang selalu digunakan iaitu untuk mencari Casagrande, dan Alhamdulillah menjadi apabila dia dapat menjaringkan gol.
“Jadi, kena sebatikan benda ini dengan perubahan taktikal dan senjata yang memang sudah ada pada pasukan”, jelasnya.
Dalam aksi lain yang turut berlangsung pada Sabtu menyaksikan Sabah FC meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas menang 2-1 ke atas Sri Pahang.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee menganggap kelekaan anak buahnya hampir menghukum pasukan untuk lawan cuba menyamakan kedudukan dan bernasib baik apabila berjaya untuk tetap bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan.
“Kita bermain begitu baik terutamanya pada separuh masa pertama tetapi di babak kedua sudah mula hilang rentak apabila mereka mengambil mudah aksi.
“Ini perlu jadi pengajaran di mana kita dah mendahului dan tidak boleh selesa apabila hampir sahaja menghukum di mana Pahang berjaya dapat satu gol.
“Ini beri tekanan kepada pasukan kita dan kita bernasib baik di mana pasukan dapat kekal bertahan dengan baik selepas dibolosi,” katanya.
Dengan kemenangan Sabah meletakkan pasukan ini berjaya merampas kedudukan untuk berada di takhta Liga Super dengan 18 mata diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga kedua. – MFL