Pelantikan Bekas Pakar Nutrisi Boca Juniors Bukti JDT Semakin Serius Amal Sains Sukan

Pelantikan bekas pakar nutrisi kelab Argentina Boca Juniors, Vanesa Soledad Rotondi membuktikan JDT semakin serius menggunakan kepakaran di dalam bidang sains sukan untuk mempersiapkan barisan pemainnya.

Perkembangan terbaru ini dianggap sebagai satu langkah positif oleh juara lapan kali Liga Super Malaysia (MSL) berturut-turut itu menjelang bermulanya saingan musim 2022.

Berbeza dengan saingan dua musim yang lalu, musim 2022 akan menampilkan cabaran tersendiri buat jaguh dari selatan tanah air itu kerana akan bertanding di dalam empat pertandingan utama iaitu MSL, Piala Malaysia, Piala FA, dan juga AFC Champions League.

Jumlah perlawanan yang meningkat berbanding sejak dua musim lalu bermakna pihak kelab harus memastikan barisan pemain sentiasa berada di dalam tahap kecergasan terbaik.

Bukan perkara baharu

Sebenarnya pengamalan pengambilan nutrisi oleh pemain di JDT bukanlah perkara baharu. Malah perkara itu sememangnya telah diamalkan oleh JDT sejak beberapa musim yang lalu.

Mengimbas kembali perkongsian yang pernah dilakukan oleh media sosial kelab itu pada 2019, menunjukkan bagaimana JDT telah menyediakan makanan bernutrisi kepada pemain ketika pra musim.

Malah melalui perkongsian pada Disember 2019 itu, JDT sebenarnya sudah memiliki pakar nutrisi agar pemain-pemain nilai pengambilan kalori masing-masing melalui setiap hidangan.

Penggunaan pakar nutrisi dan memastikan pemain mengambil makanan yang diperlukan menjadikan JDT sebagai pasukan pertama di Liga Super yang menekankan pengambilan nutrisi yang betul di kalangan pemain pada ketika itu.

Keperluan nutrisi kepada pemain bola sepak

Ada dua sebab utama mengapa pemain bola sepak profesional harus menekankan pengambilan nutrisi yang betul.

Pertama, nutrisi dianggang penting untuk perkembangan pemain demi menghasilkan prestasi terbaik di atas padang.

Pemakanan yang sihat dan penjagaan diet merupakan keperluan wajib yang membantu pemain bola sepak membina otot, memperbaiki daya pemikiran dan juga untuk perkembangan fizikal.

Sangat penting untuk para pemain muda sentiasa mengambil makanan nutrisi untuk memastikan badan mereka mempunyai tenaga dan protein yang diperlukan.

Setiap makanan dan minuman yang mereka ambil adalah sangat penting  kerana ia mampu memberi impak kepada prestasi fizikal mereka ketika sedang menjalani latihan ataupun sedang bermain dalam perlawanan penting.

Kedua, nutrisi yang betul membantu pemain untuk mengelakkan diri dari kecederaan.

Pada musim 2017/18 misalnya, pemain pertahanan Arsenal, Hector Bellerin terpaksa menukar nutrisi yang diambilnya sepenuhnya akibat kecederaan yang kerap menimpa dirinya.

Selepas dicadangkan oleh pakar nutrisi, Bellerin memutuskan untuk mengamalkan diet yang bebas daging, dan mengambil makanan lain sebagai sumber utama protein.

Lain individu mungkin mempunyai keperluan nutrisi yang berbeza. Begitu juga dengan pemain bola sepak.

JDT semakin serius

Pada pandangan kami ini bukan sekadar melantik pakar dari Boca Juniors. Tetapi lebih daripada itu, JDT sedang ‘upgrade’ apa yang mereka telah amalkan sejak sekian lama.

Pelantikan Vanesa Soledad Rotondi sebenarnya membuktikan kelab itu semakin serius di dalam aspek pengambilan nutrisi. Jika sebelum ini pengiraan pengambilan nutrisi oleh pemain JDT dikira berdasarkan secara menyeluruh, kehadiran Vanesa membenarkan kiraan nutrisi dikira secara individu.

Menurut perkongsian dari media sosial JDT, Vanesa Rotondi dikatakan akan bertanggunjawab menyelia diet dan nutrisi kesemua pemain di kelab, termasuk menyediakan pelan pemakanan individu mengikut keperluan pemain dari semasa ke semasa.

Ini bermakna program pengambilan nutrisi di JDT kini menjadi lebih terperinci daripada sebelumnya. Walaupun perkembangan sains sukan di dalam bola sepak negara belum lagi berada di tahap yang kita semua kehendaki, perkembangan di JDT ini dianggap sebagai satu langkah positif di dalam bidang sains sukan.

Tidak keterlaluan jika kira katakan kelab-kelab lain di negara ini agak ketinggalan berbanding JDT di dalam aspek penekanan pengambilan nutrisi.

Lebih daripada itu, ia demi memastikan JDT mampu menjadi pencabar utama di setiap pertandingan – sekaligus menunjukkan betapa serius pasukan itu akan menghadapi cabaran pada musim hadapan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN