Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli tampil memberikan pendapat beliau mengenai kualiti pengadilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 lalu dengan pandangan tersendiri.
Jelas Pekan, pengadil yang bertugas pada hari tersebut iaitu S Logeswaran seolah berada dalam keadaan tertekan serta risau untuk mengambil sebarang keputusan.
Terdahulu, Logeswaran menjadi mangsa kritikan bertali arus dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas kualiti beliau selaku pengadil pada perlawanan tersebut dianggap sangat teruk.
Malah, beberapa keputusan dibuat beliau jelas sangat meragukan sepanjang tempoh 90 minit aksi final itu berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Menurut Pekan Ramli, beliau mempersoalkan kualiti pengadil tersebut yang dianggap teragak-agak membuat keputusan, selain gagal untuk mengawal permainan dengan begitu baik walaupun dibantu rakan setugas lain.
Jelas beliau lagi, sepatutnya pengadil pada aksi final perlu tampil dengan lebih tegas serta tidak mempamerkan sebarang sisi kelemahan ketika mengawal perlawanan yang dianggap sangat berprestij itu.
Pekan turut mengakui Logeswaran ketika itu seolah pengadil berada dalam tekanan selain mungkin mengalami kerisauan atau ketakutan untuk mengemudi aksi itu.
“Apa yang saya nampak daripada perlawanan final itu, saya nampak pengadil seolah-olah berada dalam keadaan tertekan, kita nampak dia seakan kerisauan dan ketakutan.
“Kita nampak kebimbangannya dalam membuat keputusan yang sepatutnya, mungkin dia risau keputusannya itu tidak akan memuaskan hati mana-mana pihak.
“Tetapi sebagai pengadil yang dipertanggungjawab untuk aksi final, dia seharusnya tidak ragu-ragu dan perlu tegas dengan keputusannya. Kita lihat pun memang ada beberapa keputusan yang kontroversi.
“Merujuk kepada insiden penalti TFC, kita berterima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan pembantu pengadil tambahan yang digunakan sebagai pilihan untuk mengurangkan tekanan Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Kalau tidak, perlawanan akan bertambah buruk dan mencetuskan lebih banyak kontroversi, lebih panas dan lebih hangat,” kata Pekan menerusi Harian Metro.
Pada pandangan anda, adakah pendapat yang disuarakan Pekan Ramli itu benar atau pengadil tersebut sendiri memang diakui lemah untuk mengawal perlawanan itu?