FAM ‘Buka Mulut’ Tentang Keputusan Dibuat Pengadil Final Piala Malaysia 2023 Tepat

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), telah pun mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai isu pengadil yang bertugas pada final Piala Malaysia 2023 yang sebelum itu mendapat kritikan keras oleh ramai pemerhati bola sepak tempatan.

Kenyataan dikeluarkan oleh Datuk Noor Azman Hj Rahman selaku Setiausaha Agung FAM itu menyatakan ada sebab kenapa S. Logeswaran terpilih selaku pengadil utama Piala Malaysia 2023 yang berlangsung baru-baru ini.

Jelas beliau, FAM tidak dapat melantik mana-mana pengadil dalam kalangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas beberapa kekangan bagi aksi tersebut.

Kata beliau, dua daripada pengadil tersebut iaitu Razlan Joffri Ali serta Kamil Zakaria merupakan anak jati kelahiran Terengganu dan Tuan Yassin Tuan Hanafiah bersama Usaid Jamal pula berdaftar selaku pengadil di Johor.

Bagi dua orang lagi pengadil iaitu Suhaizi Shukri yang merupakan anak kelahiran Kedah pula bertugas untuk saingan AFC selain Nazmi Nasarudin dari Pulau Pinang pula kini masih di Arab Saudi atas suatu tugasan.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak dapat melantik pengadil dalam kalangan enam Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mengendalikan Final Piala Malaysia 2023, Johor Darul Ta’zim lwn Terengganu FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat, 8 Disember lalu antaranya disebabkan beberapa faktor dan kekangan.

“Razlan Joffri Ali dan Kamil Zakaria merupakan pengadil kelahiran Terengganu, Tuan Yaasin Tuan Hanafiah pengadil berdaftar di Johor manakala Usaid Jamal yang baru bertugas di Melaka pula pernah berdaftar sebagai pengadil di Johor, sekali gus mereka tidak dapat dilantik atas faktor pengadil berstatus berkecuali.

“Baki dua lagi Pengadil FIFA, Suhaizi Shukri dari Kedah terlibat dengan tugasan Piala AFC manakala Nazmi Nasaruddin dari Pulau Pinang berada di Arab Saudi untuk tugasan pengadil.

“Berdasarkan situasi tersebut, pemilihan S. Logeswaran dari Selangor telah dilakukan dengan rapi dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM selepas mengambil kira faktor beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik di sepanjang Liga Malaysia 2023 mengikut laporan penilai pengadil, selain beliau adalah pengadil yang berkecuali,” kata Azman menerusi kenyataan dikeluarkan oleh FAM.

Selain itu, kenyataan tersebut turut menyatakan Logeswan sebelum ini merupakan antara pengadil senior untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) selain adalah Pengadil Kebangsaan Kategori A.

Pada masa sama, kenyataan itu turut menjawab isu pertikaian kualiti pengadil pada perlawanan tersebut pada beberapa situasi dan FAM mempertahankan tindakan Logeswaran.

“Bagi insiden sepakan penalti yang diberikan untuk gol pertama Johor Darul Ta’zim pada minit keenam, pengadil berada pada kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan dan memang ada sepakan dilakukan oleh pemain Terengganu FC ke atas pemain Johor Darul Ta’zim dan ia juga berlaku dalam kawasan penalti.

“Bagi insiden sepakan penalti untuk gol penyamaan Terengganu FC pada minit ke-21 pula, kesalahan pemain Johor Darul Ta’zim terhadap pemain Terengganu FC telah jelas dilihat dan dibantu oleh Pembantu Pengadil Tambahan 1, sekali gus keputusan pengadil dibuat berdasarkan bantuan daripada Pembantu Pengadil Tambahan 1 dan bukanlah atas desakan dan permintaan daripada pemain-pemain Terengganu FC,” jelas Azman lagi.

Akhir sekali, kenyataan itu turut menyatakan mereka tidak menerima sebarang maklumat berkaitan teguran yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina terhadap mutu pengadilan pada aksi final tersebut dan menganggap itu semua palsu.

Sumber:
FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN