Pemain remaja Barcelona, Pedri atau nama sebenarnya Pedro Gonzalez Lopez menikmati debutnya bersama skuad utama Barcelona dengan kemenangan 3-0 ke atas Villareal tempoh hari selepas dimasukkan pada minit ke-70 menggantikan Philippe Coutinho.
Pemain berusia 17 tahun itu disambar Barcelona dari pasukan Las Palmas semasa tempoh perpindahan musim panas tahun lepas dan kekal bersama Las Palmas untuk beraksi dalam Liga Segunda (Divisyen 2) bagi musim 2019/20 dan telah kembali semula ke kem Barcelona pada 1 Julai 2020 yang lalu.
Beliau yang telah beraksi untuk skuad bawah 17 tahun (B-17), B-18, B-19 dan B-20 Sepanyol dilahirkan di Tegueste, sebuah pekan kecil yang terletak di wilayah Santa Cruz de Tenerife – salah satu dari beberapa pulau yang membentuk Kepulauan Canary.
📸 | La Liga debuts for Pjanic, Trincao and Pedri. pic.twitter.com/boGE435tWR
— Barça Insider (@theBarcaInsider) September 27, 2020
Menariknya, Kepulauan Canary ini terletak tidak jauh dari pesisir barat Maghribi tetapi ianya merupakan salah satu daripada 17 komuniti berautonomi di bawah pemerintahan Sepanyol yang terletak di benua Afrika – selain Cueta dan Melilla.
Di peringkat kanak-kanak dan remaja, Pedri beraksi untuk pasukan di tempat kelahirannya seperti Tegueste dan CF Juventud Laguna. Pada 2018, beliau menyertai akademi UD Las Palmas, sebuah kelab tempatan yang juga berpangkalan di Kepulauan Canary.
Pada 15 Julai 2019, ketika berusia 16 tahun, beliau menandatangani kontrak profesional pertamanya bersama kelab tersebut selepas dinaikkan ke skuad utama oleh pengurus, Pepe Mel.
Aksi kompetitif pertamanya adalah pada 18 Ogos 2019 di mana pasukannya tewas 1-0 kepada SC Huesca dalam saingan Liga Segunda dan menjaringkan gol pertama dalam karier profesionalnya pada 19 September 2019 ketika Las Palmas menang 1-0 ke atas Sporting Gijon di tempat sendiri.
🗣️ | Pedri, the 16 year old soon to be Barça B player on loan at Las Palmas: "My biggest idol was Iniesta but my father would always show me videos of Laudrup and I loved how he played, both of them were my role models." [MD] pic.twitter.com/GsKhLSwvYt
— Barça Insider (@theBarcaInsider) October 14, 2019
The Blaugarana membayar €5 juta untuk mengikat Pedri menerusi perjanjian kontrak selama dua tahun dengan pilihan sambungan dua tahun lagi. Tetapi harganya boleh mencecah sehingga €20 juta sekiranya pemain tersebut mencapai sasaran tertentu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Untuk menunjukkan betapa Barcelona benar-benar yakin dengan potensi pemain muda berkenaan, mereka telah memasukkan klausa pelepasan bernilai €100 juta di dalam kontraknya dan klausa tersebut telah pun meningkat kepada €400 juta apabila beliau telah didaftar bersama skuad utama.
Selain itu, Las Palmas juga berhak mendapat 15 peratus daripada nilai jualan sekiranya pemain tersebut dijual ke kelab lain pada masa akan datang.
https://www.youtube.com/watch?v=EY29akXH45o&feature=emb_title
Sebab utama mengapa Barcelona bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Pedri adalah disebabkan keyakinan mereka kepada kemampuan pemain muda itu untuk menjadi ‘Iniesta baharu’ – berdasarkan kemahiran beliau mengawal bola seolah-olah bola itu melekat pada kakinya.
Kedua-dua mereka, Pedri dan Iniesta juga mempunyai banyak persamaan seperti bacaan permainan yang tajam, tempo permainan yang baik, teknik kawalan bola yang kemas, dan hantaran bola yang tepat.
Bagaimanapun, tidak seperti Iniesta, Pedri lebih kepada pemain yang berkeinginan tinggi untuk menjaringkan gol. Musim lepas, pemain remaja tersebut telah beraksi dalam 36 perlawanan Liga Segunda dengan meledak empat gol serta menyumbang tujuh bantuan jaringan.
📰[MARCA] | Pedri, the new Iniesta.
— BarçaTimes (@BarcaTimes) October 17, 2019
🔶Pedri is known to be a goal-getter, with three strikes from his opening ten league appearances this campaign.
🔷Barcelona are hopeful that Pedri, the teenager signed from Las Palmas in the summer, can go on to become the new Andres Iniesta. pic.twitter.com/OjPdt1aSfu
Tindakan Barcelona untuk membenarkan Pedri terus beraksi bersama La Palmas telah menghasilkan perkembangan positif seperti yang diharapkan. Beliau telah diberi peluang untuk bermain dalam pasukan utama dan mendapat minit permainan yang mencukupi bagi meningkatkan potensi dan keyakinannya semasa beraksi di atas padang.
Dengan Barcelona kini sedang menuju era baharu di bawah pengurusan Ronald Koeman, pemain remaja ini dijangka akan menjadi pemain penting dalam pembinaan semula pasukan yang bakal dibarisi oleh pemain-pemain yang lebih muda dan segar.
Ansu Fati, Francisco Trincao, Carles Alena dan Frenkie de Jong merupakan nama-nama generasi baharu yang bakal menggantikan ‘kuda-kuda tua’ yang telah dan bakal meninggalkan kelab Catalan tersebut dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai Barcelona: