“Peanuts And Monkeys” – Ini Bukti Gaji Dipinta LTK Mahal Dan Di Luar Kemampuan Kelab Malaysia

If you pay peanutsyou get monkeys.”. Kami percaya rata-rata penyokong bola sepak Malaysia pernah mendengar madah Inggeris ini.

Ia juga adalah kata-kata yang dikeluarkan oleh bekas pengarah projek Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim berkaitan bayaran gaji yang wajar diterimanya – sekiranya berkhidmat di Malaysia.

Daripada segi pengertian ia juga boleh membawa beberapa maksud. Maksud pertama, anda tidak boleh mengharapkan hasil yang lumayan sekiranya membayar pekerja anda dengan gaji yang rendah.

Kedua, ia juga membawa maksud tawaran gaji yang rendah sama sekali tidak akan mampu menarik minat pekerja yang berkebolehan untuk menerima tawaran pekerjaan tersebut.

Terpulang bagaimana anda mahu memahaminya. Satu perkara yang pasti, kedua-duanya berkaitan dengan bayaran dan tenaga pakar.

Tetapi tatkala maksud pertama turut menjelaskan mengenai hasil akhir, definisi kedua pula tidak memberikan gambaran jelas mengenai kesudahannya. KIta akan sentuh lagi mengenai perkara ini di bahagian akhir artikel ini.

Gaji Teong Kim jadi perhatian

Jika kronologi kejadian diperhatikan, gaji Lim Teong Kim mulai mendapat perhatian penyokong bola sepak di Malaysia sejak beliau bersama NFDP lagi pada 2018.

Menteri Belia dan Sukan pada ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan gaji Teong Kim selaku Pengarah NFDP ialah RM175,000 (dengan pengecualian cukai). Tetapi pada ketika itu beliau juga menjawat dan berperanan sebagai Ketua Jurulatih skuad B-16 negara.

Kemudian pada bulan lalu pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) pula mendedahkan Teong Kim pernah meminta Є70,000 – Є80,000 (RM327,000-RM374,000) sebulan. Jumlah ini lebih tinggi berbanding apa yang beliau terima ketika bersama NFDP.

TMJ melalui satu temubual eksklusif bersama Astro Arena dan portal CakapSukan pada ketika itu turut berpendapat jumlah tersebut terlalu mahal untuk tujuan pembangunan.

“Masa dia nak kerja dengan saya, dia minta 70-80 ribu euro sebulan dan nak bawa 2, 3 orang pembantu. Takkan saya nak bayar sampai begitu. Saya punya pemain dan ketua jurulatih pun tak sebanyak itu.

“Tetapi kalau betul dia nak buat pembangunan, saya dengan bola sepak Malaysia, suruhlah dia buat dengan gaji RM20-RM30 ribu sebulan,” kata Tunku Ismail dalam temubual tersebut.

Kita semua tahu jalan cerita seterusnya, termasuk penafian oleh Teong Kim dan penjelasan TMJ mengenai bukti daripada unit akaun JDT.

Benarkah gaji Teong Kim terlalu tinggi?

Isu gaji yang dianggap tinggi oleh Teong Kim terus berlarutan apabila beliau menempelak bayaran RM20-RM30 ribu yang ditawarkan kepadanya melalui satu temubual bersama portal sukan HarimauMalaya.

Bagi Teong Kim beliau harus dibayar dengan harga yang sepatutnya kerana pengalaman melatih skuad remaja Bayern Munich selama 12 tahun dan menghasilkan pemain yang menjuarai Piala Dunia seperti Toni Kroos.

Tetapi mengapakah bayaran yang dipinta Teong Kim masih dianggap mahal? Adakah ia juga mempunyai kaitan mengapa bekas pemain Kedah dan Kuala Lumpur itu sehingga kini tidak dipikat mana-mana pasukan sejak meninggalkan NFDP pada 2020. Soalan itu turut ditanya oleh seorang netizen baru-baru ini.

Berdasarkan struktur gaji di dalam bola sepak Jerman, sebenarnya tidak keterlaluan jika kita menyifatkan gaji yang dipinta oleh Teong Kim sebenarnya amat tinggi.

Lebih tinggi daripada jurulatih Bundesliga

Ini kerana permintaan gaji sebanyak Є70,000 – Є80,000 sebulan oleh beliau (seperti didedahkan TMJ) – dengan purata Є17,500 – Є20,000 seminggu – adalah lebih tinggi daripada sebahagian pendapatan Ketua Jurulatih/ Pengurus kelab-kelab Bundesliga.

Berdasarkan perkongsian Totalsportal, seperti di bawah, nilai tersebut lebih tinggi berbanding bayaran yang diterima oleh sebahagian ketua jurulatih/pengurus di Bundesliga, Jerman.

Jurulatih Arminia Bielefeid, Frank Kramer misalnya dibayar Є13,000 seminggu. Manakala Tayfun Korkut di Hertha BSC pula hanya menerima Є16,000 seminggu. Bayaran sama juga turut diterima pengendali Vfl Bochum, Thomas Reis.

Sumber: Totalsportal

Untuk rekod, Tayfun Korkut adalah bekas pengendali skuad U-19 Vfb Stuttgart sekitar 2011-12 yang mengandungi pemain seperti Joshua Kimmich dan Timo Werner.

Malah ada di kalangan pengendali kelab di Bundesliga Jerman seperti Stefan Leiti yang melatih Greuther Furth menerima bayaran serendah Є10,000 seminggu sahaja.

STUTTGART, GERMANY – MARCH 05: Timo Werner of Stuttgart celebrates his team’s fifth goal during the Bundesliga match between VfB Stuttgart and 1899 Hoffenheim at Mercedes-Benz Arena on March 5, 2016 in Stuttgart, Germany. (Photo by Alex Grimm/Bongarts/Getty Images)

Hertha BSC, Arminia Belefeld, atau Vfl Bochum mungkin tidak segah Bayern Munich daripada segi kejuaraan di Bundesliga Jerman.

Tetapi ianya sukar untuk membayangkan seorang jurulatih di peringkat pembangunan di Jerman menerima bayaran yang lebih tinggi daripada segelintir Ketua Jurulatih kelab utama di sana.

Bukankah agak biadap sekiranya kita kategorikan jurulatih ini sebagai monyet dan kelab-kelab tersebut sebagai ‘kelab kucing kurap’ hanya kerana dibayar dengan pendapatan yang rendah?

Jadi berapa gaji yang wajar?

Jadi berapakah gaji yang wajar diterima oleh seorang jurulatih berkelayakan daripada eropah untuk melatih pasukan di peringkat pembangunan?

Sebenarnya tiada harga tertentu ditetapkan. Setiap jurulatih juga mempunyai harga masing-masing berdasarkan pengalaman dan kelayakan mereka. Manakala kelab pula sudah tentu memiliki bajet tertentu yang harus diikuti.

Apa pun nilai yang diletakkan, perkara terpenting sasaran yang diletakkan haruslah mampu dicapai.

Sebagai perbandingan, seorang Pengarah Akademi bersama kelab Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat dibayar purata pendapatan USD59,143 setahun.

Ia bersamaan dengan Є52,794.59 setahun atau Є4,400 (RM20,701) sebulan. Jumlah tersebut adalah sama seperti apa yang TMJ cadangkan kepada Teong Kim sebelum ini sekiranya jurulatih itu berminat untuk melatih kelab di Malaysia.

Manakala untuk mengendalikan salah sebuah akademi bola sepak di Qatar, seorang jurulatih akademi akan dibayar sekitar £26,000 (Є31,074 setahun) atau bersamaan Є2,589 (RM12,188) sebulan. Jurulatih yang mahu mengisi jawatan tersebut juga perlu memiliki lesen kejurulatihan daripada UEFA.

Kesimpulan

Kesimpulannya pendapatan seorang jurulatih atau pengarah di akademi bola sepak dipengaruhi oleh beberapa faktor yang berlainan.

Lain negara meletakkan tanda harga yang berlainan bergantung kepada kelayakan dan pengalaman seseorang jurulatih.

Tidak dinafikan, Lim Teong Kim adalah seorang jurulatih yang berpengalaman dan memiliki kelayakan yang tinggi. Tetapi mungkin juga beliau tidak sesuai untuk pasaran di dalam negara.

Tatkala kebanyakkan kelab di Malaysia bergelut dengan situasi kewangan saban musim, melantik seorang jurulatih yang memerlukan 25% daripada kos operasi sesebuah pasukan juga boleh dianggap sebagai tindakan ‘bunuh diri’.

Melantik seseorang yang ‘over-qualified’ (walaupun jurulatih kelahiran Malaysia) juga tidak akan memberikan sebarang manfaat kepada bola sepak negara.

Sasaran kita juga harus realistik. Usah bermimpi untuk melahirkan pemain setaraf Tony Kroos sekiranya pemain sedia ada belum bersedia untuk mencabar pasukan-pasukan utama di rantau Asia Tenggara dan Asia.

Adalah lebih baik semua pihak di Malaysia memberikan tumpuan untuk membina asas dan struktur bola sepak di dalam negara terlebih dahulu, sebelum bercita-cita melantik jurulatih elit seperti Lim Teong Kim.

Seperti yang dinyatakan tadi, permintaan gaji oleh beliau adalah lebih tinggi daripada sebahagian pengurus kelab Bundesliga. Itu adalah hak beliau dan semua pihak harus hormati itu.

Usah pula kita yang bertelagah sesama sendiri kerana bola sepak adalah lebih besar daripada seorang individu. Akhir kata, “peanuts or monkeys,” kita ukur sahaja baju di badan sendiri.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN