“Bawa Skuad Kedua Di Kemboja Adalah Tepat” – Jamal Nasir

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir menyifatkan keputusan untuk tidak membawa barisan terbaik dalam saingan Piala AFF B-23 baru-baru ini sebagai keputusan yang amat tepat.

Jelas beliau selaku bekas tonggak pertahanan yang membawa Malaysia layak ke saingan Olimpik pada tahun 1980 itu menganggap keputusan membawa barisan pemain kedua itu tepat kerana ia dapat memberi pengajaran dan pendedahan berguna buat barisan kedua pemain negara kerana rata-rata merupakan muka baharu.

Tambah bekas pemain Pahang itu, tiada apa yang salah telah dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana sasaran awal mereka yang lebih penting adalah Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun ini.

“Tahun ini skuad B-23 kita sibuk dengan jadual mereka. Terlalu banyak kejohanan buat mereka, jadi berpendapat pilihan membawa skuad kedua di Kemboja adalah tepat.

“Pasukan ini akan bermain juga dalam Sukan Sea (di Vietnam, Mei ini), Piala Asia dan Sukan Asia (di China, September ini). Jadi FAM perlu ada matlamat kejohanan mana yang perlu diutamakan.

“Piala Asia adalah pilihan dan saya fikir apabila tiba kejohanan itu kelak sudah tentu pemain kita akan berada pada momentum terbaik.

“Ini sebab kita kena faham, pasukan bola sepak akan mencapai kemuncak prestasi dan jika kita kerah daripada AFF lagi, mungkin momentum itu akan hilang bila tibanya Piala Asia nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Pada hari semalam, akhbar sama turut melaporkan mengenai Piala Asia B-23 bakal menjadi ukuran sebenar skuad kendalian Brad Maloney bukannya pada aksi AFF B-23 yang berlangsung di Kemboja kini.

Untuk rekod, pemain yang dibawa ke Kemboja baru ini rata-rata merupakan wajah baharu yang dipanggil dan bukan skuad utama yang dihantar kerana hampir separuh pemain dalam skuad kendalian Brad Maloney bukan pilihan terbaik seperti kebiasaan.

Selain itu, saingan Piala AFF B-23 ini juga dijalankan  luar dari kalendar FIFA yang menyaksikan sesetengah kelab tidak melepaskan para pemain. Oleh itu, Brad mengambil inisiatif untuk membawa barisan pemain baharu di Kemboja sebagai satu pendedahan berguna buat mereka sebelum memanggil pemain terbaik untuk dibawa ke saingan Piala Asia kelak.

Bagi saingan Piala Asia yang bakal berlangsung di Uzbekistan tidak lama lagi, skuad muda negara telah diletakkan dalam Kumpulan C bersama juara bertahan, Korea Selatan, Thailand, dan Vietnam dengan menyaksikan hanya juara dan naib juara sahaja layak beraksi di pusingan suku akhir.

Untuk rekod di saingan tersebut, pencapaian terbaik Malaysia apabila berjaya melangkah ke suku akhir pada tahun 2018 sebelum anak buah Datuk Ong Kim Swee tewas di tangan Korea Selatan dengan keputusan 1-2.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN