Pemain tengah Kuala Lumpur City (KL City) iaitu Paulo Josue menjadi tumpuan utama untuk minggu pertama Liga Super 2024/2025 berikutan dua solidariti dipamerkan beliau ketika aksi berdepan Kuching City.
Apa tidaknya, Josue terlebih dahulu mengejutkan para penyokong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menerusi jaringan pembukaannya yang sangat cantik untuk terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di hadapan.
Tidak cukup dengan jaringan jarak jauh itu, Josue turut meraikannya dengan sangat unik untuk menarik perhatian ramai pemerhati bola sepak tempatan.
Pemain kelahiran Brazil itu terlebih dahulu meraikan gol sulung beliau pada musim ini dengan gaya ikonik yang sering dibuat oleh bintang Malaysia, Faisal Halim melalui ‘siuuu’ di hadapan para penyokong.
Umum mengetahui, Josue merupakan antara pemain tampil penuh bersimpati dengan nasib dihadapi oleh Faisal kini yang masih berada di hospital selepas simbahan asid kepada bintang Selangor itu jelas menyebabkan dirinya melecur hampir separuh badan.
Keadaan Faisal juga menyaksikan beliau kini tidak dapat beraksi di atas padang selama beberapa bulan dan memerlukan banyak masa untuk kembali pulih.
Seperti diketahui ramai, Josue dan Faisal merupakan rakan sepasukan untuk skuad Harimau Malaya dan kedua mereka menjadi antara tunjang penting buat Malaysia di pentas antarabangsa.
Laporan sebelum ini menyatakan Josue tampil terkejut dengan nasib menimpa Faisal serta berharap supaya beliau kembali sembuh pads masa hadapan.
“Apa yang saya baca, Faisal sedang berada di sebuah pusat beli-belah dan seseorang telah menyerangnya dengan menyimbah asid.
“Jadi, bagaimana kita nak menjangka perkara ini? Kita tidak boleh jangka kerja ‘gila’ orang di luar sana.
“Faisal seorang bintang di Malaysia. Seperti saya, saya bukan seorang yang popular di sini, jadi saya tidak begitu khuatir dengan keadaan sekeliling.
“Saya lebih suka menghabiskan masa di rumah bersama keluarga. Meskipun begitu, saya tetap akan berhati-hati selepas ini.
“Bagaimanapun, saya berharap agar Faisal dapat sembuh dengan segera,” kata Josue menerusi laporan telah dikeluarkan oleh Harian Metro
Selain itu, beliau turut membuat tindakan susulan mengangkat sedikit jersi dengan memberi solidariti buat tempat kelahirannya iaitu Rio Grande do Sul yang dilanda musibah banjir besar.
Menerusi perkongsian The Star sebelum ini, banjir besar telah melanda kawasan tersebut serta mengorbankan hampir 143 orang selain banyak kerosakan telah berlaku.
Maka tidak hairan Josue memberi penghormatan besar buat kampung halaman beliau kini dan berharap penduduk di sana terus kuat menghadapi ujian tersebut.
Apa yang dibuat oleh Josue jelas merupakan satu contoh terbaik kepada orang ramai mengenai isu kesukanan tinggi serta nilai kemanusiaan di atas padang.
Kredit foto: Shah Amirul