Tonggak utama Kuala Lumpur City (KL City) iaitu Paulo Josue berharap supaya tuah beliau ketika mewakili skuad kebangsaan dapat bersamanya untuk aksi separuh akhir Piala FA 2023 pada Ahad ini menentang Terengganu.
Apa tidaknya, aksi kali ini bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang menjadi lokasi paling manis buat Josue musim ini dalam karier bola sepak profesional.
Paulo Josue Tak Kisah Turun Selaku Penyerang Utama Untuk Berdepan Terengganu
Josue menjadi antara pemain yang sangat cemerlang sebelum itu bersama skuad kebangsaan, ketika SSMZA digunakan sebagai lokasi rasmi buat Harima Malaya bagi menghadapi Kepulauan Solomon serta Papua New Guinea.
Pada dua perlawanan persahabatan tersebut, Josue telah diberi kepercayaan oleh Kim Pan-gon untuk beraksi selaku penyerang utama Harimau Malaya.
Hasilnya, pemain ini berjaya mencatat empat gol daripada dua aksi tersebut dan pastinya Josue mengharapkan tuah yang sama untuk beliau pada aksi separuh akhir Piala FA 2023 bersama KL City.
Jelas Josue, beliau berharap menerusi lokasi yang sama bakal berlangsung ini bakal diiringi nasib bertuah buat dirinya bersama pasukan untuk mengetepikan cabaran Terengganu.
Walaupun begitu, Josue mengakui ianya bukan sesuatu yang mudah buat beliau untuk menghadapi aksi tersebut kerana dijangka Terengganu bakal mendapat sorakan padu daripada ribuan penyokong kesayangan mereka.
“Saya harap tuah sama dapat mengiringi saya bersama KL City (Kuala Lumpur City FC) di venue sana nanti.
“Ia benar memang saya suka setiap kali beraksi di sana (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin) kerana ia seolah bawa tuah buat saya.
“Sudah tentu saya harapkan tuah sekali lagi dapat bersama sama di separuh akhir nanti, tetapi ia bukan perlawanan yang saya boleh anggap mudah.
“Terengganu sebuah pasukan yang bagus dan kedua-dua pasukan juga mempunyai peluang seimbang untuk mencatat kemenangan. Namun saya percaya, jika kami fokus dan beri sepenuh tumpuan kami boleh lakukan sesuatu,” katanya menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, Josue juga tidak menganggap ribuan penyokong Terengganu bakal melemahkan motivasi para pemain KL City atas pengalaman mereka sebelum itu yang merasainya ketika saingan Piala AFC.
“Musim lalu di Piala AFC kami selalu bermain di tempat lawan menentang kelab Vietnam, India dan Uzbeskitan. Penyokong lawan cukup ramai waktu itu, tapi kami berjaya lepasi halangan dengan meraih kemenangan.
“Walaupun set pemain musim ini tidak sama seperti musim lalu, tapi saya harap pengalaman musim lalu itu akan di bawa apabila bertandang ke Terengganu nanti,” katanya.