Paulino Alcántara: Pemain Asia Tehebat Sepanjang Zaman, Ratio Jaringannya Dicemburui Messi

Jika pertanyaan dilemparkan kepada peminat bola sepak berbunyi: “Siapakah pemain terhebat Asia yang pernah beraksi di liga eropah?” Anda akan mendapat pelbagai jawapan.

Ada yang akan memberi jawapan Park Ji Sung, Hidetoshi Nakata, Keisuke Honda dan Lee Young Pyo. Bagi peminat bola sepak di Asia Tenggara, legenda Kota Singa, Fandi Ahmad adalah pilihan yang tepat.

Hakikatnya, Asia pada hari ini telah menghasilkan ramai pemain yang mampu beraksi di pentas tertinggi, termasuk di Eropah.

Tetapi siapakah pemain terhebat Asia yang pernah beraksi di Eropah?

Anda pasti senyum sinis jika penulis mengatakan bahawa satu masa dahulu ada satu nama yang lebih hebat daripada Lionel Messi di Barcelona.

Anda juga pasti tidak percaya jika penulis mengatakan pada satu masa dahulu ada seorang pemain bola sepak dari Asia yang mempunyai rembatan yang sangat padu, sehingga mengoyakkan jaring gol apabila rembatannya menerjah jaring untuk menghasilkan gol.

Penulis bukan mengisahkan filem Shaolin Soccer. Bukan juga siri anime Supa Strikas.

Artikel kali ini mengisahkan satu nama dari Filipina yang dikenali sebagai Paulino Alcántara, dan beliau mencipta nama bersama FC Barcelona.

Siapakah Paulino Alcántara?

Paulino Alcántara dilahirkan pada 7 Oktober, 1896 di Iloilo, Filipina. Iloilo merupakan salah satu bandar di Filipina di mana bola sepak lebih popular daripada sukan bola keranjang.

Seperti yang anda lihat dalam pasukan kebangsaan Filipina pada hari ini, Alcántara juga punyai darah asing dalam dirinya hasil perkahwinan kedua orang tuanya.

Ayahnya berdarah Sepanyol, manakala ibunya adalah penduduk tempatan Filipina. Walaupun berdarah campuran, Alcántara tidak tinggi dan sasa sepertimana anggota Azkal berdarah Filipina-Sepanyol.

Anda boleh rujuk susuk tubuh Angel Guirado untuk ini.

Laporan mengatakan  Alcántara hanya setinggi 5 ft 7in dengan berat badan hanya sekitar 60kg! Ini bukanlah fizikal yang sesuai untuk seorang atlit, apatah lagi sebagai pemain bola sepak profesional di eropah.

Bagaimanapun, susuk tubuhnya yang lebih kecil, tidak menghalang cita-cita Alcántara untuk menjadi pemain bola sepak profesional yang berjaya.

Awal karier

Pada usia Paulino Alcántara 14 tahun, ayah beliau membawa keluarganya berhijrah ke Sepanyol.

Alcántara gemar bermain bola sepak dengan rakan-rakan sebaya sejak usia muda lagi, sehingga menyertai sebuah kelab yang ditubuhkan oleh rakan sekelasnya. Kelab itu dipanggil ‘Galeno’.

Di situlah bakatnya ditemui sendiri oleh pemilik kelab FC Barcelona, Joan Gamper, lantas menawarkan Alcántara peluang sebagai pemain. Ini menjadikan Alcántara sebagai pemain Asia pertama dan satu-satunya yang pernah beraksi untuk kelab Catalan itu sehingga kini.

Pada usia 15 tahun, Paulino Alcántara adalah pemain termuda yang pernah beraksi untuk skuad itu dalam sejarah Barcelona.

Dalam perlawanan debutnya menentang Catala SC, Alcántara menjaringkan tiga gol pertama dari keseluruhan 9 gol yang dijaringkan oleh Barcelona dalam perlawanan tersebut.

Ini turut menjadikan Alcántara merupakan pemain termuda yang pernah menjaringkan gol dalam perlawanan kompetitif kelab berkenaan.

Paulino Alcántara menjadi pemain paling bernilai untuk kelab Catalan itu. Dengan kehadiran Alcántara, Barcelona memenangi pertandingan Copa del Rey dan Championat de Catalunya pada tahun 1913 dan Championat de Catalunya pada 1916.

Championat de Catalunya adalah liga bola sepak pertama yang wujud di Sepanyol sebelum La Liga dimulakan pada 1929.

Kembali ke tanah air

Pada tahun 1916, Alcántara kembali ke Filipina tanpa kerelaannya. Kali ini keluarga Alcántara mahu beliau melanjutkan pelajaran di dalam bidang perubatan.

Cita-cita keluarganya tidak menghalang Alcántara untuk bermain bola sepak. Kerana minat yang mendalam terhadap bola sepak, beliau menyertai sebuah kelab yang dikenali sebagai Bohemians of Manila.

Belum pun setahun beraksi bersama Bohemians, Paulino Alcántara telah dipanggil untuk menganggotai skuad kebangsaan Filipina.

Kejohanan pertama yang disertai oleh Paulino Alcántara bersama skuad kebangsaan Filipina ialah di  Far Eastern Championship Games (hari ini adalah Sukan Asia) di Tokyo pada tahun 1916.

Di atas padang, kelibat  Alcántara sukar dihalang. Pasukan bola sepak Filipina membelasah Jepun dengan jaringan 15-2. Sehingga hari ini, jaringan tersebut kekal sebagai kemenangan terbesar Filipina di pentas antarabangsa.

Tatkala Alcántara mencipta nama di pentas antarabangsa bersama Filipina, Barcelona mengharungi musim serba tidak menjadi. Mereka gagal memenangi sebarang kejuaraan tanpa  Alcántara.

Ini mendorong Barcelona untuk menghubungi keluarga  Alcántara dalam usaha memujuk keluarganya untuk memberi kebenaran kepada Alcántara untuk kembali ke Sepanyol.

Keluarga  Alcántara menolak idea itu. Bagaimanapun Alcántara menghidap malaria selepas itu. Beliau enggan mengambil ubatan melainkan keluarganya tunduk kepada kehendaknya untuk kembali menyertai Barcelona di Sepanyol.

Keluarga  Alcántara terpaksa akur. Demi cinta dan minat dalam bola sepak,  Alcántara sanggup memberontak kepada keluarganya sendiri.

Kebangkitan kembali Paulino Alcántara

Tanpa berlengah, Alcántara terus membarisi kesebelasan utama FC Barcelona. Pada mulanya, jurulatih Jack Greenwell meletakkan beliau di posisi pertahanan sebelum mengubahnya kembali ke posisi penyerang.

Seperti kata pepatah Inggeris: And the rest, as they say, is history.

Dengan bantuan Alcántara, Barcelona muncul juara Sepanyol sebanyak 5 kali dan juara Catalan sebanyak 10 kali. Rekod jaringan Paulino Alcántara turut dinobatkan sebagai yang terbanyak sepanjang zaman buat kelab Catalan tersebut.

Alcántara mempunyai ratio jaringan 357 gol melalui 357 penampilan untuk Barcelona. Untuk rekod, Lionel Messi menjaringkan 640 gol melalui 742 penampilan untuk Barcelona.

Anda mungkin mempersoalkan faktor zaman kedua-dua pemain ini. Namun rekod tetap sebuah rekod, sehinggalah ia dipecahkan.

Selain daripada bola sepak di peringkat kelab, Alcántara turut tampil sebanyak 5 kali dan menjaringkan 6 gol untuk skuad kebangsan Sepanyol.

Ini termasuklah penyertaan Sepanyol pada Sukan Olimpik 1920 dan juga perlawanan menentang Perancis pada 1922, apabila beliau mendapat gelaran ‘El Romperedes’.

‘El Romperedes’ bermakna ‘Si Pengoyak Jaring’, merujuk kepada jaringan Alcántara dari jarak 30 meter. Rembatannya sangat deras sehingga mengoyakkan jaring gol pasukan Perancis pada waktu itu.

Di sebalik kejayaan bersama Barcelona dan Sepanyol, Alcántara dikatakan turut menghadiri ujian akhir bidang perubatan di Filipina. Beliau berjaya lulus dengan cemerlang.

Kehidupan selepas bola sepak

Akhirnya Alcántara bersara daripada bola sepak pada 5 Julai 1927 pada usia 31 tahun. Paulino Alcántara kemudiannya bergelar seorang doktor sepenuh masa di Sepanyol.

Selain daripada itu, Dr. Paulino Alcántara  turut pernah menjadi Pengarah Kelab Barcelona di antara tahun 1931 sehingga 1934. Beliau turut pernah menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Sepanyol pada 1950an.

Paulino Alcántara menghembuskan nafas terakhir pada 13 Februari 1964 pada usia 67 tahun.

Rumusan

Tidak salah jika kita merumuskan Paulino Alcántara adalah pemain dari Asia yang paling berjaya dalam sejarah bola sepak benua terbesar di dunia ini.

Paulino Alcántara bukanlah seorang pemain bola sepak yang calang-calang. Dia adalah seorang ilmuwan dan juga pakar perubatan.

Beliau juga merupakan antara pemain bola sepak pertama yang menulis buku autobiografi tentang perjalanan kariernya.

Satu perkara yang pasti, pemain bola sepak yang berasal dari Filipina ini sangat dihormati di Barcelona dan Sepanyol.

Adakah kita akan menyaksikan lebih ramai Paulino Alcántara beraksi di pentas tertinggi pada masa akan datang?

 

Baca juga artikel kami mengenai Stan Kroenke:

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN