Pemain tengah antarabangsa Brazil, Paulinho menjelaskan bahawa salah satu tugas beliau di dalam skuad Barcelona ialah untuk bekerja keras demi memastikan Lionel Messi boleh terus bergelar pemain terbaik dunia.
Paulinho dipetik sebagai berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan menjelang perlawanan Champions League menentang Olympiakos pada awal pagi nanti.
Bekas bintang kelab Liga Super China (CSL), Guangzhou Evergrande itu turut menyatakan rasa berterima kasihnya terhadap Messi yang banyak membantu beliau menyesuaikan diri dengan persekitaran baru di Barcelona, sejak memlengkapkan perpindahan bernilai €40 juta dari kelab China itu.
Beliau turut berasa berbangga kerana memiliki peluang untuk bermain sebagai rakan sepasukan Lionel Messi.
“Kami semua bekerja keras untuk memastikan Messi terus mempamerkan apa yang beliau mampu lakukan. Untuk itu, ia adalah satu kebanggaan apabila anda berjaya membantu Messi berada di tahap sedemikian.”
“Jika anda diturunkan untuk beraksi, tugas anda ialah untuk membantu beliau, agar bola tersebut dapat diterima oleh beliau di kawasan yang sepatutnya.”
Ketika ditanya tentang perbandingan di antara Neymar dan Messi, Paulinho berkata:
“Kedua-duanya adalah pemain yang hebat. Tetapi mereka adalah pemain yang berlainan. Kedua-duanya adalah pemain yang menakjubkan, dan merupakan pemain bola sepak berkelas dunia.”
“Saya sangat berbangga kerana dapat beraksi dengan salah seorang di peringkat kelab, dan dengan seorang lagi ketika menyertai skuad kebangsaan.”
Paulinho turut berkongsi akan peranannya di dalam pasukan.
“Saya sangat bebas ketika berada di posisi saya, sama ada di peringkat kelab, atau ketika beraksi untuk Brazil. Jurulatih memberi kebebasan untuk kami ke hadapan, mencipta peluang jaringan dan juga untuk menjaringkan gol.”
“Kelebihan utama yang ada pada diri saya ialah karakter dedikasi. Saya mahu melakukan yang terbaik. Ini bermakna saya juga mahu terus mempertingkatkan keupayaan dan prestasi untuk membantu rakan sepasukan yang lain.”
Paulinho juga berkata beliau amat teruja untuk pengalaman UEFA Champions League (UCL), dan mahu mengambil kesempatan sebaik mungkin untuk memberi aksi yang terbaik jika diturunkan di dalam perlawanan.
Ketibaan Paulinho di Nou Camp pada awalnya menimbulkan keraguan ramai. Namun demikian Paulinho berpendapat, beliau tidak ada apa untuk dibuktikan dan langsung tidak tertekan dengan situasi tersebut.
Ketika ditanya apakah motivasi beliau untuk menampilkan prestasi terbaik, Paulinho menjawab:
“Untuk mengetahui diri anda beraksi untuk Barcelona adalah motivasi yang maksimum anda boleh perolehi.”
Barcelona akan bertemu dengan Olympiacos dalam perlawanan UCL saingan kumpulan D pada malam ini dengan misi untuk memperolehi 3 kemenangan berturut-turut.
Dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini menyaksikan Barcelona menewaskan Juventus 3-0, sebelum menewaskan Sporting CP 1-0. Paulinho adalah pemain gantian dalam kedua-dua perlawanan.