Disebalik kisah hubungan dingin diantara Paul Pogba dan Jose Mourinho, pemain tengah berusia 25 tahun tersebut secara terbuka mengucapkan terima kasih buat bekas pengurus Manchester United itu dalam membantu meningkatkan prestasinya sebagai seorang pemain.
Mourinho merupakan individu yang bertanggungjawab membawa Paul Pogba kembali ke Old Trafford daripada Juventus dengan yuran perpindahan bernilai £89 juta pada bulan Ogos 2016.
Beberapa insiden melibatkan Mourinho dan Pogba menyebabkan hubungan mereka kelihatan retak dan dengan prestasi hambar sejak kebelakangan ini memaksa Manchester United memilih untuk memecat pengurus kelahiran Portugal itu.
Beliau juga telah didenda oleh kelab selepas memuatnaik gambar sinis yang seolah-olah gembira dengan berita pemecatan itu walaupun selepas 10 minit kemudian, Pogba telah memadam gambar tersebut.
Pogba bagaimanapun mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang dicurahkan Mourinho, dalam satu temubual selepas perlawanan Manchester United menentang Cardiff City, pagi tadi.
”Kami memenangi trofi bersama Jose (Mourinho) dan saya mahu mengucapkan terima kasih diatas sumbangan tersebut.”
”Dia membuatkan saya meningkat, juga sebagai seorang manusia, dan itu sahaja.”
”Kami bekerja dengan baik walaupun tidak semuanya berjalan dengan lancar. Tetapi semua itu telah berakhir dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepadanya.”
Pada perlawanan bertemu Cardiff City, Pogba bertindak cemerlang dengan mencipta tiga bantuan jaringan bagi membantu kemenangan 5-1 United pada perlawanan pertama di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer.