Pemain Perancis, Paul Pogba terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Dunia 2022 di Qatar selepas pemain itu mengalami kecederaan.
Baru-baru ini, beliau yang kembali semula ke saingan Serie A untuk bergabung dengan Juventus untuk kali kedua mengejutkan semua pihak apabila mengalami kecederan sebelum musim bermula.
Kini, ibarat jatuh ditimpa tangga, kecederaan yang diterima Pogba dijangka mengambil masa yang lama untuk pulih.
Menurut laporan di Itali, Pogba dikatakan akan dihantar oleh Juventus ke Amerika Syarikat untuk menerima rawatan lanjut.
Kelab Itali itu dijangka akan membawa Pogba ke Santa Monica bagi membolehkan pemain itu mendapatkan rawatan yang terbaik.
Mereka pastinya mahukan rawatan dilakukan secepat boleh, namun begitu tempoh pemulihan yang panjang akan membuatkan Pogba akan tidak beraksi lebih lama.
Jika rawatan tersebut dilakukan, ianya akan mengambil masa yang agak lama untuk Pogba pulih sepenuhnya dengan pemain itu dijangka hanya boleh beraksi pada 2023.
Ini sekali gus akan membuatkan Pogba terlepas Piala Dunia 2022 di Qatar. Beliau juga akan terpaksa melupakan misi mempertahan kejuaraan yang dimenangi negaranya pada 2018 di Rusia.
Namun begitu, Pogba dikatakan tidak lagi bersedia untuk terus terbang ke Amerika Syarikat. Sebaliknya, beliau akan mendapatkan rundingan dengan doktor di Turin dan Perancis sebelum mengambil sebarang keputusan.
Hal ini pastinya kerana beliau tidak mahu impian Piala Dunianya akan berakhir begitu sahaja.
Pogba sebelum ini disahkan mengalami kecederaan dilututnya oleh pihak perubatan Juventus.