Pengendali kelab Nice di Ligue 1 (Liga Perancis), Patrick Vieira telah menyatakan di laman sesawang kelab tersebut yang ianya nampak sangat biadap untuk bercakap mengenai bola sepak ketika dunia sedang berdepan masalah COVID-19 ketika ini.
Pandemik COVID-19 yang mula melanda pada Januari lalu telah menyebabkan bola sepak seluruh dunia terhenti dan pebincangan mengenai hala tuju liga, nasib kelab dan juga nasib pemain terus menjadi tajuk-tajuk utama sukan di seluruh dunia.
Bagi pengendali berusia 43 tahun itu, persoalan ketika ini bukanlah mengenai bagaimana dan bila bola sepak akan kembali selepas ini, tetapi bagaimana seluruh dunia akan kembali pulih daripada krisis penyakit global sebegini selepas ini.
“Ianya sangat biadap untuk bercakap tentang bola sepak ketika ini,” tegas Patrick Vieira sambil menyatakan yang setiap orang harus memainkan peranan ketika ini terutama dari segi untuk memberikan bantuan sokongan moral dan kewangan.
“Saya hanya memikirkan orang yang telah kehilangan insan tersayang, selain frontliner seperti para doktor dan jururawat, juga petugas-petugas seperti di pasar raya antaranya. Mereka telah melakukan tugas dengan baik,” ujar Patrick Vieira.
“Kita perlu gunakan masa ini untuk menghargai apa yang telah dilakukan orang lain kepada komuniti kerana mereka telah berikan lebih daripada apa yang telah mereka perolehi,” tambah alumni skuad Invisible Arsenal 2003/04 itu lagi.
“Sejujurnya, saya tidak langsung memikirkan jadual pertandingan dan bagaimana liga akan berakhir, tetapi lebih kepada nasib mangsa krisis ini serta impak terhadap sosio ekonomi kepada komuniti dan masyarakat sekeliling kita,” jelasnya lagi.
“Semua orang perlu tahu, yang mereka ada peranan ketika ini. Anda, saya dan seluruh masyarakat ada peranan yang perlu dibuat ketika ini dan juga selepas ini.
“Bola sepak sedang ‘mengambil cutinya’ ketika ini. Perkara paling penting ketika ini adalah untuk memahami mengenai sebesar mana pandemik ini dan bagaimana kita perlu bersatu untuk menentang virus ini,” ujar Patrick Vieira lagi.
Bekas pemain skuad kebangsaan Perancis itu kini seperti mana orang lain menjalani rutin harian di rumah bersama ahli keluarganya dan menurutnya, walaupun merindui bola sepak, semua pihak perlu memandang dari perspektif lain buat masa ini.
KREDIT FEATURED IMAGE: OGC NICE