Beberapa pasukan Liga M3 menyokong sepenuhnya pendekatan Malaysian Football League (MFL) dan Amateur Football League (AFL) yang akan membantu mengurangkan kos pada hari perlawanan bagi meringankan beban setiap pasukan yang bertanding.
Antaranya Kelantan United yang menerima pendekatan MFL dan AFL serta mengakui isu pemberian geran sepatutnya tidak perlu timbul kerana mereka telah diberi peringatan sebelum bermulanya Liga M3 bahawa tiada sebarang bantuan kewangan akan diberikan.
Timbalan Presiden Kelantan United FC, Datuk Zamri Ismail menegaskan, mereka boleh menerima pendekatan MFL dan AFL dalam isu format playoff dan tiada slot automatik diberikan kepada pasukan M3.
“Kami menyangkal ada laporan media yang mengatakan MFL ini seolah-olah tidak bertanggungjawab untuk membantu pasukan M3 malah kami semua pasukan daripada awal lagi sudah sedia maklum yang kami tidak dijanjikan sebarang geran.
“Namun itu tidak bermaksud MFL atau AFL akan bersikap lepas tangan tetapi akan cuba membantu setiap pasukan dalam aspek lain terutama pada kos pada hari perlawanan.
“Melalui perjumpaan diadakan semalam antara semua pasukan dengan CEO MFL Kevin Ramalingam, pihak MFL menerusi AFL akan berusaha membayar kos-kos seperti yang melibatkan pengadil jadi secara tidak langsung perkara ini akan membantu pasukan yang berdepan kekurangan bajet.
“Mengenai isu play off jika mahu beraksi di Liga Premier musim depan, kami sebenarnya sudah tahu daripada awal lagi dan kami bersetuju terhadap segala asas mengapa ia tidak diberikan secara automatik, ” katanya.
Pengurus Tun Razak FC, Norsazli Md Zalaluddin juga bersikap positif di sebalik pendekatan MFL dan AFL yang bertimbang rasa mahu mengurangkan kos pada hari perlawanan sebagai langkah tepat memahami kekangan dihadapi pasukan M3.
Tambahnya, itu cukup penting kerana sekurang-kurangnya memahami masalah yang dihadapi sesetengah pasukan terutama dalam aspek kos pengangkutan dan penginapan jika bertandang selaku pasukan pelawat.
“Penerangan Kevin kepada kami cukup positif terutama dalam soal bantuan kepada pasukan dalam mengurangkan kos pada hari perlawanan malah Kevin dan AFL sedang bekerja keras membantu semua pasukan.
“Kita akan tunggu kenyataan rasmi MFL cuma dalam isu ini cuma diharapkan dengan sedikit bantuan ini, kami akan mampu terus bertahan beraksi sehingga penghujung musim ini, ” katanya.
Tidak ketinggalan menyatakan sokongan ialah Setiausaha Agung Kuching FA, Iswandi Ali Hassan, yang nampak penerangan jelas berhubung soal tiada slot kepada pasukan M3 layak secara automatik.
“Sebelum ini banyak perkara tergantung dan kami tidak dapat penjelasan terperinci mengapa tidak ada slot automatik ke Liga Premier diberikan sepertimana pasukan dari Piala FAM sebelum ini.
“Jadi, setelah mendengar penjelasan terperinci pada perjumpaan dengan MFL dan AFL, kami menerima keputusan itu dengan positif dan diharapkan perbincangan dua hala seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, ” katanya.
Pada Khamis, pihak MFL dan AFL mengadakan pertemuan dengan 14 pasukan M3 bagi menerangkan beberapa isu melibatkan faktor kewangan dan penjelasan di sebalik kedudukan dua pasukan teratas M3 perlu beraksi di saingan playoff dengan dua pasukan tercorot Liga Premier jika mahu beraksi di Liga Premier pada musim 2020.