Pasukan-pasukan Liga Malaysia berpuas hati dengan jadual baharu yang telah dikeluarkan selain turut menarik nafas lega apabila saingan Liga Super dan Liga Premier kembali bersambung pada 24 Julai ini.
Berdasarkan kenyataan oleh Malaysian Football League (MFL) semalam, MFL telah mendapat pertimbangan baik daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meneruskan baki saingan Liga Malaysia 2021 dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan.
Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh menyambut baik jadual terbaharu Liga Malaysia ketika ini terutamanya melibatkan perlawanan ke-19 hingga 22 yang menyaksikan jarak bagi setiap perlawanan tidak terlalu padat sekali gus memberi lebih ruang kepada pemain untuk mendapatkan tahap kecergasan lebih baik.
” Saya berpuas hati dengan jadual baharu Liga Super membabitkan empat perlawanan terakhir ini kerana sekurang-kurangnya dapat beri ruang kepada pemain pulihkan kecergasan masing-masing apatah lagi beberapa aksi terakhir ini cukup penting bagi menentukan kedudukan liga.
” Selepas latihan intensif secara Camp Based yang kami lakukan, fokus pemain-pemain termasuk saya adalah seratus peratus memikirkan perlawanan dengan Melaka United iaitu aksi pertama kami sebaik liga bersambung nanti,” katanya.
Dalam pada itu, ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak pula menghargai usaha yang dilakukan MFL dalam memastikan kelancaran Liga Malaysia di mana jadual yang ada ini memudahkan perancangan jurulatih untuk mempersiapkan pasukan terutamanya dalam merancang aksi persahabatan.
Beliau juga memahami dengan situasi tidak menentu wabak COVID-19 ketika ini, bukan mudah untuk badan penganjur membuat sebarang keputusan agar saingan Liga Malaysia tetap berlangsung seperti yang dirancang.
“Memang kami lega dengan keputusan yang telah dibuat untuk pasukan kekal beraksi bermula 24 Julai dan memudahkan semua jurulatih untuk melakukan tugas merancang khususnya mengadakan aksi persahabatan.
“Kita tahu bukan senang untuk memastikan liga tetap berjalan dan saya hargai apa yang telah diusahakan oleh MFL agar kita semua terus beraksi, dan yang penting adalah mengikut SOP yang ketat,” jelasnya.
Pengendali Selangor FC 2, Michael Feichtenbeiner pula mahu anak buahnya kekal fokus untuk perlawanan tertunda Liga Premier berdepan Sarawak United pada 17 Julai dan berharap ia dapat berlangsung dengan lancar selepas beberapa kali ditunda.
Apa yang penting adalah barisan pemain perlu bersedia mental dan fizikal mengenai perubahan venue memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih dilaksanakan di Selangor.
“Jika PKPD terus bersambung di negeri Selangor, Stadium Manjung mungkin akan jadi pilihan alternatif buat kami.
“Namun semuanya bergantung kepada status PKPD, jika bersambung kami akan bergerak ke Manjung pada Khamis depan berdepan Sarawak United, iaitu beberapa hari sebelum perlawanan”, katanya.
Selain itu, ketua jurulatih Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan mengingatkan kepada barisan pemain agar tidak ambil mudah SOP yang telah disediakan dan kesihatan diri adalah paling utama ketika ini apatah lagi dengan keadaan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.
“Alhamdulillah kita semua mampu untuk menjaga gelembung sukan yang telah dibuat daripada awal dan akhirnya saingan liga tetap boleh berlangsung seperti yang dijadualkan.
“Cuma penting untuk saya ingatkan kepada semua agar tetap berhati-hati dengan persekitaran masing-masing kerana wabak ini bukannya melibatkan kecederaan atau sebagainya, tetapi ia adalah pandemik dan cukup merbahaya untuk kita semua.
“Jadi, jaga diri dan kesihatan , patuh SOP dan saya percaya kita semua akan berada dalam keadaan baik”, katanya.
Liga Malaysia 2021 sebelum ini berehat selepas perlawanan terakhir pada 9 Mei 2021 bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan beraksi dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu serta Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok, Thailand. – MFL
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Malaysia Hantar Skuad B-20 Ke Kelayakan Piala Asia B-23 2022