Pass Bermusim Boleh Jadi Salah Satu Kaedah Terbaik Elak Jadi Mangsa Ulat Tiket

Semalam kami menyiarkan sebuah artikel bertajuk: Kami Banding Pas Bermusim Selangor, JDT, Kedah & Terengganu: Mana Paling Berbaloi? Antara intipati utama artikel tersebut ialah untuk mendedahkan lebih banyak informasi kepada penyokong bola sepak di Malaysia tentang kepentingan pass bermusim.

Empat pasukan Liga Malaysia di atas menjadi contoh di dalam artikel tersebut, untuk pembaca kami melihat nilai-nilai yang ditawarkan oleh setiap pasukan. Ada banyak kelebihan yang boleh dinikmati oleh penyokong dengan memiliki pass bermusim tersebut -sudah tentu dengan harga yang berbeza- seperti tempat duduk premium, parkir khas, jersi terkini, cenderahati, aktiviti untuk penyokong, kelebihan awal membeli tiket perlawanan khas, dan lain-lain.

Namun tahukah anda, salah satu sebab lain untuk anda jadikan alasan mengapa pass bermusim semakin menjadi keperluan ialah untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa ulat tiket?

Di mana ada permintaan, di situ ada penawaran

Di mana ada permintaan, pasti di situ akan ada penawaran. Atas permintaan sedemikian, kami percaya beberapa pasukan di Liga Malaysia datang dengan inisiatif mewujudkan pass bermusim dengan pakej-pakej menarik untuk kemudahan penyokong.

Sedikit sebanyak penawaran pass bermusim boleh membendung masalah ulat tiket yang berleluasa -bukan sahaja di negara kita- malah turut berlaku di luar negara. Seperti kebiasaan, ulat tiket akan mengambil kesempatan kepada perlawanan-perlawanan tumpuan atau perlawanan-perlawanan yang memberikan signifikan tertentu kepada sesebuah pasukan.

Kekalahan 2-1 Manchester City kepada Newcastle United pada awal pagi tadi bermakna Liverpool berpeluang melebarkan kelebihan di tempat teratas liga kepada tujuh mata, jika skuad bimbingan Jurgen Klopp berjaya menewaskan Leicester City di Anfield pada awal pagi esok.

Di dalam liga yang dianggap sebagai kompetitif seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), ia adalah satu kelebihan buat Liverpool jika berada di kedudukan sedemikian; berbaki 14 perlawanan yang perlu diharungi selepas ini.

Perlawanan tumpuan

Kelebihan yang dimiliki oleh Liverpool ini menyebabkan tiket perlawanan di hari terakhir musim ini menjadi mahal dan tidak masuk akal. Daily Mail dalam satu laporan berkata beberapa laman sesawang telah menjual tiket perlawanan tersebut pada harga mencecah £6,000. Jumlah itu bersamaan dengan RM32,197.34, jika anda berhasrat untuk memiliki tiket perlawanan tersebut.

Liverpool dijadualkan akan menentang Wolverhampton Wanderers pada 12 Mei di Anfield -dalam perlawanan yang berpotensi menjadi hari bersejarah buat Liverpool sejak 29 tahun yang lalu- dan dijangka majlis penyerahan trofi turut akan dilakukan sebaik tamat perlawanan, sekiranya kelab Merseyside itu bergelar juara.

Sumber: Premier League

Tiket-tiket tersebut sebenarnya bukan tiket perlawanan yang dijual oleh pihak kelab. Sebaliknya ia dijual oleh penyokong-penyokong sendiri -yang sudah memiliki tiket-tiket- kepada pihak ketiga, semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Tiket asal untuk perlawanan membabitkan Liverpool di Anfield dijual di antara £37(RM198) sehingga £59 (RM316), bermakna nilai tiket perlawanan pada 12 Mei itu telah melonjak hampir 20 kali ganda.

Ulat tiket digital

Jika di Malaysia, laman-laman jual beli di atas talian sering menjadi platforim untuk ulat tiket cuba berurusniaga. Begitu juga dengan laman-laman media sosial. Di dalam kes tiket perlawanan membabitkan Liverpool ini, perkara sama turut berlaku. Tetapi ia seakan-akan dimonopoli oleh syarikat-syarikat tertentu (pihak ketoga) -tidak boleh dipastikan sejauh mana sahnya urusniaga- hasil kerjasama dengan penyokong-penyokong yang tidak bertanggungjawab.

Salah satu laman sesawang yang menjual tiket perlawanan ini adalah livefootballtickets.com yang berpengkalan di Madrid. Laman sesawang ini dilaporkan memiliki tidak kurang dari 200 tiket perlawanan membabitkan perlawanan diantara Liverpool menentang Wolves untuk dijual.

Tiket perlawanan yang paling murah boleh diperolehi pada harga £1,100 sekeping, dan beberapa tempat duduk lain berharga £1,140. Sepasang tiket di aras lain stadium pula dijual pada harga £5,950 sekeping, bermakna anda harus membelanjakan sekitar RM64,000 untuk tiket yang dijual secara bersama itu.

Pakej yang mengandungi hospitaliti ketika perlawanan pula dijual pada harga £4,999 di laman sesawang yang sama. Antara kemudahan yang ditawarkan ialah tempat duduk premium, selain daripada hidangan dan minuman yang dikhaskan ketika perlawanan.

Sebuah lagi laman sesawang yang turut berpengkalan di Sepanyol, ticket4football, turut menjual tiket perlawanan yang sama pada harga £3,308, namun harus disertakan dengan pendahuluan £736.71.

Sukar dibendung

Peraturan sedia ada di England menyebabkan Liverpool sukar mengawal penjualan tiket oleh pihak lain. Penjualan tiket sebegini pasti turut memberikan risiko kepada pembeli.

Selain daripada diambil kesempatan dengan harga yang dianggap ‘cekik darah’, penyokong juga berisiko tidak menerima tiket yang dihantar melalui pos. Lebih malang lagi jika anda menerima tiket selepas hari perlawanan disebabkan kelewatan penghantaran oleh syarikat kaurier berkenaan.

Rumusan

Jika keadaan kita di Malaysia menjadi rujukan, pass bermusim membenarkan anda untuk menyaksikan satu perlawanan Liga Malaysia dengan harga serendah RM6.67 sahaja.

Sumber: Liverpool FC

Untuk rekod, Liverpool menjual pass bermusim mereka pada harga setinggi £869 semusim -meliputi 18 perlawanan di tempat sendiri- atau £48.3 untuk setiap perlawanan.

Bezanya di Malaysia, ianya adalah lebih mudah untuk anda memiliki pass bermusim, jika dibandingkan dengan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris seperti Liverpool dan lain-lain.

Anda mungkin boleh bertengkar sesama sendiri seperti tiada hari esok untuk mempersoalkan pass bermusim pasukan mana paling berbaloi. Tetapi sudahkah anda memiliki pass bermusim pasukan masing-masing?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN