Quantcast

BERITA

Newcastle 2-1 Manchester City: Matt Richie Sukarkan Peluang City Kejar Liverpool

Peluang Manchester City untuk menghidupkan semula aspirasi kejuaraan Premier League musim ini terjejas teruk selepas tewas mengejut kepada tuan rumah, Newcastle di St. James Park awal pagi tadi.

Dua kesilapan pertahanan membuatkan pasukan bimbingan Pep Guardiola terlepas peluang untuk merapatkan kedudukan di belkang pendahulu liga, Liverpool dengan satu mata. Liverpool akan melayan kunjungan Leicester City di Anfield awal pagi esok.

City bagaimanapun bermula dengan cukup baik apabila penyerang Sergio Aguero menjaringkan gol hanya selepas 24 saat.

Penyerang berbisa Argentina itu turut mempunyai satu lagi gol selepas itu, tetapi dibatalkan oleh pengadil selepas Kevin de Bruyne didapati mengambil sepakan percuma sebelum wisel dibunyikan. Akibatnya, pemain tengah Belgium itu dihukum kad kuning.

Selepas itu, anak buah Guardiola jarang-jarang mengancam penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka. Ini membuatkan keyakinan anak buah Rafa Benitez semakin meningkat.

Penyokong tuan rumah meloncat kegembiraan pada minit ke-66 apabila Salomon Rondon menjaringkan gol penyamaan melalui tandukan Isaac Hayden dari jarak 12 ela.

Naratif perlawanan berubah ke haluan Newcastle pada minit ke-80 apabila tuan rumah di hadiahkan penalti selepas Fernandinho – yang terlalu lambat mengeluarkan bola di kawasan bahaya – menjatuhkan Sean Longstaff yang berjaya merampas bola dalam kotak penalti.

Matt Richie terpaksa menunggu hingga 2 minit sementara penjaga gol City, Ederson menerima rawatan kecederaan, sebelum menjaringkan gol dari penalti yang menewaskan penjaga gol Brazil tersebut.

City yang tak pernah tewas kepada Newcastle dalam 22 perlawanan liga, baru sahaja pulang dari tugasan membelasah Burnley 5-0 di FA Cup selepas menjaringkan 3 gol menentang Huddersfield dan Wolves dalam 2 perlawanan liga sebelum ini.

Bagaimanapun selepas gol Aguero, City nampak seperti mengendurkan tekanan kepada Newcastle. Martin Dubravka hanya perlu membuat satu aksi menyelamat selepas gol Aguero tersebut, pada minit ke-58 untuk menepis cubaan David Silva, yang juga merupakan cubaan tepat terakhir City.

Newcastle mungkin boleh bersyukur kepada Tuhan selepas berjaya menjaringkan 2 gol daripada hanya 2 cubaan tepat ke arah Ederson. Tetapi kredit perlu diberikan kepada mereka kerana mengambil peluang yang seadanya untuk mendapatkan 3 mata berharga.

Usaha hold-up play penyerang Venezuela, Salomon Rondon nyata menjadi duri dalam daging pertahanan City apabila ia membolehkan pasukannya untuk mengekalkan tekanan kepada City sehinggalah Fernandinho melakukan kesilapan.

Dengan Newcastle yang semakin hampir untuk menandatangani bintang Atlanta United dari Major League Soccer, Miguel Almiron, masa depan Newcastle yang kerap dibelenggu bahaya zon penyingkiran, mungkin akan berubah ke arah yang lebih baik.