Sudah adat pasangan bercinta, pasti akan sanggup melakukan apa sahaja untuk melakukan kejutan terbaik untuk insan yang mereka sayangi.
Kejutan boleh datang di dalam pelbagai cara. Tatkala pemberian hadiah mungkin sudah agak menjadi kebiasaan buat kebanyakkan pasangan – kejutan melakukan lamaran di hadapan 83,000 penyokong bola sepak, pasti sesuatu yang lebih istimewa.
Dr. G. Roshan & Shinna Teh
Perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki di antara Malaysia dan Myanmar pada 24 November lalu lebih dari sebuah kemenangan buat pasangan yang dikenali sebagai Dr. G. Roshan dan pasangan beliau Shinna Teh.
Ini kerana perlawanan tersebut pasti menjadi ingatan seumur hidup buat pasangan tersebut, setelah Dr. Roshan bertindak melamar teman wanita beliau selama empat tahun lalu, Shinna Teh di hadapan lebih 83,000 penyokong pasukan negara yang turut hadir menyaksikan perlawanan.
Tadi kitorang share tweet lamaran tu kan?Haaa ni video sebenar antara yang menarik di Stadium Bukit Jalil malam ini…Congrats gaisss??? #sharERA
Sumber dari @affsuzukicup pic.twitter.com/LU5KSvFdSv
— ERA (@ERAdotje) November 24, 2018
Rakaman Dr. Roshan melakukan lamaran terhadap Shinna pantas menjadi tular di media sosial. Lebih manis lagi, Shinna tidak teragak-agak bersetuju untuk menerima lamaran Dr. Roshan – walaupun mengakui terkejut dengan usaha yang dilakukan teman lelakinya itu.
“Rupanya mereka semua berpakat termasuk ibu bapa saya sendiri, hanya saya saja tidak menyangka ini semua. Padanlah tiba-tiba ramai yang ingin mengikut kami ke stadium dan rakan karib saya pula tiba-tiba mekapkan saya malam itu,” kata Shinna.
Jumpa Setiausaha Agung FAM
Amalan sebegini mungkin sudah menjadi kebiasaan di luar negara. Namun ia mungkin pertama kali dilakukan di stadium bola sepak di negara ini.
Sehubungan dengan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyampaikan ucapan tahniah mereka melalui Setiauasaha Agung badan induk bola sepak negara itu, Stuart Michael Ramalingam.
Sebagai tanda kenangan FAM turut menghadiahkan bola perlawanan yang digunakan di dalam perlawanan Malaysia menentang Myanmar sebagai tanda kenangan buat pasangan tersebut.
“Bolasepak untuk pasangan bolasepak kita. Kami di FAM berasakan kejutan ini mungkin yang pertama diadakan di Stadium bola sepak negara kita.
“Ia satu kelainan tetapi kami di FAM ingin turut sama meraikan kejutan ini,” ujar Stuart dalam pertemuan tersebut.
Tahniah!
Lebih istimewa, lamaran itu juga dipancarkan di skrin besar di stadium, sekaligus menarik perhatian netizen yang kemudiannya berkongsi gambar papan skrin itu ke media sosial
Buat pasangan Dr. Roshan dan Shinna Teh, kami warga kerja Semuanya BOLA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada anda berdua. Semoga perkahwinan anda berdua kekal bahagia sehingga ke anak cucu!