Park Hang-seo memilih untuk merehatkan bek kirinya, Doan Van Hau dipercayai atas sebab tekanan selepas insiden ketika berdepan Malaysia.
Vietnam bertemu Singapura dalam aksi ketiga Kumpulan B, Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat.
Dalam aksi yang berlangsung malam tadi, kedua-dua pasukan dilihat ‘liat’ untuk menyerah apabila perlawanan akhirnya berkesudahan seri tanpa jaringan. Malah, ini keputusan tanpa jaringan pertama di Piala AFF.
Vietnam mungkin boleh keluar sebagai pemenang jika rembatan jarak jauh Nguyen Hoang Duc tidak singgah di palang gawang gol Singapura yang dikawal ketat oleh Hassan Sunny, enam minit sebelum wisel penamat.
Itu adalah cubaan paling hampir Vietnam untuk merobek gawang lawan.
🎦 #SGPvVIE 𝗛𝗜𝗚𝗛𝗟𝗜𝗚𝗛𝗧𝗦
🇸🇬 Singapore 0️⃣-0️⃣ Vietnam 🇻🇳
Plenty of sparring throughout the ninety minutes, but they left the pitch level on the scoresheet.
#AFFMitsubishiElectricCup2022 | #BeTheGameChanger pic.twitter.com/u7oevEYZq5— AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmecup) December 30, 2022
Singapura bertahan dengan sangat baik dalam aksi di Stadium Jalan Besar malam tadi sehingga menyukarkan anak didik Park Hang-seo bermain.
Sang Singa juga memiliki peluang terbaik di hujung aksi apabila sepakan percuma diambil Zulfahmi Arifin cemerlang ditepis oleh Dang Van Lam.
Van Hau dilihat hanya duduk memanaskan bangku simpanan Naga Emas walaupun aksi berdepan Singapura penting untuk meraih tiket lebih awal.
Ini hanya kali ketiga beliau dilihat cuma berada di bangku simpanan sejak tampil bersama skuad kebangsaan pada 2017, sejak kehadiran Park.
Beliau tidak pernah terlepas beraksi kecuali ketika berdepan Jordan pada 2017 dan Kemboja di Piala AFF 2018. Ini kali ketiga beliau disisihkan.
Atas sebab inilah beliau dilihat sebagai tonggak utama Vietnam jadi apabila menyisihkannya untuk aksi penting, mungkin ada alasan yang tersendiri.
Ketepi Pertembungan, Penyokong Thailand & Indonesia Hulur Tangan Bantu Malaysia ‘Serang’ Vietnamhttps://t.co/USDMm9foIu
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 29, 2022
Selepas insiden kekasaran yang dilakukannya terhadap pemain-pemain Malaysia, malah menjadi punca kepada kad merah bek kanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad, Van Hau diasak bertubi-tubi, bukan sahaja dari Malaysia, malah Indonesia dan Thailand juga dilihat ‘tumpang sekaki’.
Malah ada yang sehingga melebihi batas apabila dikatakan menyerang media sosial teman wanita Van Hau. Dan beliau memberi respon.
“Ketika ini semua jadi pakar bola sepak,” titipnya di media sosialnya.
Menurut laporan media dari Vietnam, beliau dilihat sudah mengehadkan akses ke akaun media sosialnya dengan menutup ruangan komen.
Ini menunjukkan beliau ada mengikuti komen-komen yang dilemparkan terhadapnya sehingga memaksanya menutup ruangan komen seketika.
Media di sana turut nampak situasi kekok pemain itu ketika sesi latihan selepas aksi dengan Malaysia. Beliau dilihat tidak mengukir senyuman.
Faham dengan situasi pemain berusia 23 tahun itu, Park mungkin memberinya ruang untuk kembali fokus dengan ‘berehat’. Secara mentalnya, Van Hau mungkin belum cukup bersedia untuk bermain.
Park ketika sidang media pra-perlawanan menentang Singapura dilihat menjelaskan tentang isu Van Hau dan dikatakan sudah ‘menasihatinya’.
“Van Hau tiada sebarang niat jahat untuk mengasari pemain lain. Itu hanyalah gaya permainannya yang agresif dan keterujaannya. Dalam bola sepak, kekasaran itu perkara biasa, teruskanlah bermain. Lagipun kita ada pengadil di tengah padang,” ungkap Park mempertahankan anak didiknya itu.
“Saya tegaskan sekali lagi, Van Hau bukan orang yang jahat. Dan saya telah ingatkan dia juga tentang ini,” tegasnya lagi bagi menutup kisah ini.