Pengendali Vietnam, Park Hang-seo sememangnya diakui ramai sebagai seseorang yang gemar melancarkan perang psikologi kepada lawan sebelum aksi bermula.
Menjelang aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 membabitkan Vietnam bersama Indonesia di Stadium My Dinh malam ini, Hang-seo sekali lagi tampil dengan kenyataan pedas.
Tampil dengan perwatakan penuh bersemangat di tepi padang, kali ini Hang-seo telah pun mencabar Indonesia untuk menewaskan Vietnam jika lawan ingin dilabel sudah pun menyamai tahap mereka.
Beliau sendiri tampil dengan kenyataan akan mengakui Indonesia sebagai lawan yang sama tahap Vietnam, jika pasukan tersebut mampu menewaskan mereka ketika sesi sidang media sebelum itu.
Jurulatih berpengalaman tersebut jelas sangat yakin kerana aksi seterusnya itu akan berlangsung di laman sendiri serta mempunyai reputasi baik ketika bertemu Indonesia.
Pada aksi lalu, Vietnam berjaya mengikat Indonesia menerusi keputusan seri tanpa sebarang jaringan, biarpun mendapat tekanan tinggi daripada puluhan ribu penyokong Sang Garuda.
Dikhabarkan Hang-seo mengeluarkan kenyataan tersebut kerana ingin membalas kata-kata pengendali Indonesia Shin Tae-yong yang menyatakan pasukan kendaliannya kini sudah pun menyamai tahap Vietnam.
“Mungkin apa yang dikatakan Shin itu benar. Tetapi sebagai seorang jurulatih, beliau perlu membuktikannya terlebih dahulu.
”Atau, beliau perlu mengambil tanggungjawab atas kata-katanya menerusi keputusan selepas tamat perlawanan.
“Saya tidak terbiasa untuk menilai kekuatan pengendali pasukan lain sebelum ini. Jika benar Indonesia kuat, buktikan menerusi keputusan penuh perlawanan.
“Harapan saya agar segala kata-kata ini dapat dibuktikan pada hari perlawanan. Jika esok Vietnam tewas kepada Indonesia, saya akan akui mereka sudah pun menyamai tahap kami.
”Namun jika sebaliknya berlaku, Shin tidak boleh mengatakan ketika ini Indonesia sudah pun menyamai tahap permainan kami,” jelas Hang-seo menerusi CNN Indonesia.
Ketika ini, kedua pasukan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menampilkan kekuatan penuh pada perlawanan malam ini menerusi para pemain yang ada.
Kelebihan pastinya terarah kepada Vietnam, kerana pasukan tersebut pastinya akan mendapat sorakan padu daripada penyokong tuan rumah.
Indonesia pula, suka atau tidak mereka perlu menjaringkan gol dalam misi untuk mengesahkan tiket ke pusingan final seperti musim lalu.