Pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan berminat untuk membawa pemain sayap Chelsea, Willian ke Parc des Princes ketika jendela perpindahan sudah semakin sampai ke penghujung.
Menurut sumber Sky Sports, Willian menjadi pilihan utama selepas ayam tambatan, Neymar mengalami kecederaan metatarsal yang memaksa beliau diketepikan selama tiga bulan.
Keadaan itu menyebabkan Neymar bakal terlepas kedua-dua aksi peringkat 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Eropah bertemu Manchester United.
Sebelum dikaitkan dengan PSG, Willian turut pernah mendapat perhatian Barcelona dan kelab di China.
Pemain lincah berusia 30 tahun kelahiran Brazil itu berjaya menjaringkan tiga gol dan diturunkan oleh Maurizio Sarri sebagai kesebelasan utama pada 20 perlawanan liga.
Beliau yang masih mempunyai baki kontrak selama 18 bulan dilihat sebagai pemain yang sukar untuk dilepaskan Chelsea dalam usaha The Blues menamatkan saingan di kelompok empat pasukan teratas.
Chelsea juga kini sedang berusaha keras untuk menghalang pemain muda berbakat besar, Callum Hudson-Odoi meninggalkan pasukan selepas mereka menolak tawaran yang diberikan Bayern Munich walaupun pemain tersebut mahu meninggalkan London.