Previu MSL2019: Survival 12 Pasukan Janjikan Debaran Menjelang Sepak Mula

Musim baharu Liga Super Malaysia bakal kembali lagi dengan aksi akan dimulakan pada hari Jumaat iaitu 1 Februari.

Setiap pasukan rancak mempersiapkan pasukan masing-masing untuk mengharungi satu musim yang bakal mencabar dan penuh dengan kejutan yang tidak akan dijangka oleh kita semua.

Semuanya bermula di garisan permulaan yang sama, tetapi siapakah yang akan menamatkan saingan sebagai yang terbaik?

Previu kali ini akan mengulas mengenai beberapa perkara iaitu:

  • Calon pasukan 4 teratas
  • Si kuda hitam
  • Pasukan berpotensi jatuh ke Liga Premier
  • Pasukan yang menarik untuk diperhatikan musim ini
  • Perebutan kasut emas
  • Siapakah penjaga gol paling kurang dibolosi musim ini?

PERINGATAN: Penilaian dilakukan berdasarkan prestasi musim lalu dan juga persiapan pasukan pada pra-musim. Kami mengalukan komen-komen ilmiah dari para pembaca di ruangan komen.

Calon pasukan 4 teratas

Memandangkan liga kita mengandungi 12 pasukan, jadi ianya terbelah kepada 3 kelompok iaitu 4 teratas, 4 pertengahan dan 4 terbawah.

Ianya juga dapat dilihat apabila undian Piala Malaysia dilakukan apabila 16 pasukan diasingkan dalam 4 balang berbeza apabila ianya diasingkan mengikut kedudukan liga.

Pada musim ini, tumpuan diletakkan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang, Terengganu dan juga Perak untuk mencabar kedudukan 4 teratas liga musim ini.

JDT yang merupakan juara bertahan sudah pastinya merupakan calon utama untuk menjulang kejuaraan sekali lagi pada musim ini.

JDT Juara Liga Super 2018

Dengan mereka akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), standard yang lebih tinggi diperlukan dari skuad mereka untuk memastikan mereka mampu bersaing dengan pasukan-pasukan utama Asia.

Peningkatan kualiti skuad dengan kemunculan pemain seperti Aaron Niguez dan Diogo Santo pastinya akan membantu meningkatkan kualiti JDT sebagai pasukan dan ianya pasti memberikan kesan positif pada cabaran domestik mereka.

Pahang pula merupakan pasukan yang dilihat berbahaya di bawah kendalian Dollah Salleh. Kepakaran Dollah dalam membentuk pasukan ampuh dari segi serangan tidak boleh dinafikan lagi.

Namun begitu, Pahang haruslah menewaskan musuh dalam diri mereka sendiri terlebih dahulu iaitu isu konsistensi yang dilihat akan menghantui mereka dan seterusnya menafikan peluang mereka merangkul gelaran liga.

azam azih
Foto: PAHANG FA

Sementara bagi Terengganu dan Perak, kedua-dua finalis Piala Malaysia musim lalu dilihat sudah mempunyai asas yang kukuh pada skuad mereka.

Dengan masih lagi mengekalkan para pemain import yang sama, dijangka 2 skuad ini tiada masalah untuk meneruskan prestasi menyakinkan pada musim lalu.

Kuda hitam

Beberapa pasukan dilihat berpotensi untuk digelar sebagai pencabar tanpa sedar atau digelarkan sebagai dark horse (kuda hitam) pada saingan kali ini.

Mereka dilihat berpotensi untuk memberikan kejutan untuk memecah masuk kelompok 4 teratas liga berdasarkan persiapan pada musim ini.

Selangor merupakan antara pasukan yang dilihat cukup agresif dalam mempersiapkan skuad mereka musim ini dengan menandatangani sekumpulan pemain baharu musim ini.

Jurulatih B. Satianathan membawa ramai muka baharu seperti Michael Nguyen, Antonio German, Nurridzuan Abu Hassan, Faiz Nasir dan ramai lagi ke dalam skuad Selangor yang berwajah baharu ini.

Dengan kempen media sosial yang cukup berjaya, pastinya penyokong mengharapkan hasil positif dari pelaburan Selangor pada musim ini.

Satu lagi pasukan yang boleh diberikan perhatian ialah Melaka United.

Mereka mengekalkan cara sama sejak beberapa musim ini iaitu membawa masuk pemain-pemain berpengalaman ke dalam skuad.

Untuk musim 2019 ini, mereka membawa lagi pemain-pemain berpengalaman ke dalam skuad untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik berbanding musim lalu.

Kehadiran Shukor Adan dan kemunculan Safiq Rahim serta Liridon Krasniqi menjadi tumpuan dan pastinya menarik.

Tumpuan terarah kepada bagaimana Zainal Abidin Hassan hendak mencorak gandingan Safiq-Liridon di bahagian tengah pada musim ini.

Gambar: Melaka United

Berpotensi untuk jatuh ke liga bawahan

Untuk beberapa musim ini, si juara liga sering diketahui lebih awal berbanding mereka yang bakal ke liga bawahan dan ianya turut menampilkan keterujaan buat pengikut liga kita di penghujung musim.

Lazimnya, 2 pasukan baharu yang dinaikkan ke liga atasan akan menjadi calon untuk tersingkir pada musim seterusnya kerana mereka dianggap sebagai pasukan terlemah dalam divisyen.

Oleh itu, FELDA United dan juga MIFA dianggap sebagai antara calon berpotensi untuk turun ke Liga Premier pada musim 2020.

Selain dari 2 pasukan tersebut, Kuala Lumpur merupakan satu lagi pasukan yang tercalon dalam kategori ini.

Prestasi yang tidak menentu pada musim lalu termasuklah dengan persiapan pra-musim yang tidak begitu lancar menjadikan sebab mengapa pasukan Warga Kota ini dipilih di dalam kategori ini.

Tugas berat jelas menanti Yusri Che Lah dalam usaha beliau untuk memastikan Kuala Lumpur kekal bersaing.

MFL

Jelas sekali kuncinya adalah dengan memastikan Guilherme De Paula dan juga Paulo Josue berada dalam prestasi terbaik sepanjang musim.

Pasukan mana jadi tumpuan?

Untuk kategori ini, MIFA, Selangor dan Kedah merupakan pasukan yang menarik untuk disaksikan musim ini.

Sebagai pendatang baharu, tumpuan kepada MIFA adalah sama ada mereka mampu untuk bertahan di dalam liga ini pada percubaan pertama mereka?

Dengan sedikit pengalaman menentang pasukan Liga Super pada Piala Malaysia 2018, ianya boleh memberikan sedikit gambaran kepada mereka mengenai apa yang bakal menanti pasukan itu musim ini.

Bagi Selangor pula, persiapan penuh meriah yang dilakukan mereka pastinya akan membuatkan peminat mereka meletakkan harapan tinggi kepada Gergasi Merah.

Segala kemeriahan kempen media sosial mereka harus diterjemah kepada aksi menyakinkan di atas padang bermula dengan aksi menentang FELDA United.

Bagi Kedah, kehadiran jurulatih dari Singapura iaitu Aidil Shahrin pastinya menarik perhatian penyokong dikala pasukan itu memasuki era baharu.

Kehadiran Aidil menandakan permulaan kepada bola sepak cara baharu dan tamatnya era DNA permainan hantaran pendek yang diterapkan Tan Cheng Hoe.

Anda boleh membaca mengenai falsafah beliau di sini.

Perebutan kasut & sarung tangan emas

Bagi perebutan penjaring terbanyak, dijangka saingan akan berlaku dalam kalangan pemain import.

Tumpuan akan terarah kepada nama-nama seperti Tcheche Kipre dan juga penyandang anugerah ini iaitu Rufino Segovia yang mencatatkan 19 gol musim lalu.

Rufino
FOTO: FMLLP

Satu lagi nama yang menjadi tumpuan adalah Diogo Luis Santo. Kehadiran beliau sebagai nama besar hasil kejayaan bermain di Thailand memberikan sebab kenapa pemain ini perlu diberikan perhatian.

Selain Santo, kembalinya Dickson Nwakaeme pastinya akan menjadi tumpuan. Mampukah beliau mencipta kembali kejayaan beliau bersama Pahang sekali lagi?

Bagi pemain tempatan, pemain seperti Shahrel Fikri dan Safawi Rasid akan menjadi tumpuan untuk menjadi antara penjaring terbaik dari kalangan anak tempatan.

Bagi penjaga gol pula, saingan merebut gelaran penjaga gol terbaik akan tertumpu kepada penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

mifa

Beliau jelas merupakan penjaga gol yang cemerlang pada musim lalu apabila mencatatkan 13 kali tanpa bolos – lebih 6 kali berbanding pencabar terdekat iaitu Helmi Eliza.

Helmi dan Hafizul Hakim jelas merupakan 2 lagi nama yang berpotensi menjadi tembok batu pasukan masing-masing dari menghalang pasukan lawan menjaringkan gol.

Raikan perbezaan!

Ramai orang, ramai ragamnya. Begitu juga dalam hal bola sepak, masing-masing punya pilihan sendiri.

Penulis meraikan perbezaan dari kalangan pembaca jika anda berasa tidak setuju dengan pilihan yang dibuat.

Bincangkan di ruangan komen dan bahaskan dengan penuh imliah!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN