Garis Panduan Asas Memberi Komen Di Semuanya BOLA

Bola sepak itu adalah sukan yang menyokong semangat persaingan yang sihat di dalamnya. Sebab itu adanya perkataan fairplay disebut dalam bola sepak.

Sejak awal penubuhan Semuanya BOLA pada November 2014, kami diikuti oleh audiens dari pelbagai lapisan masyarakat, pasukan disokong dan ideologi.

Sifat universal ini membuatkan kami semakin bersemangat untuk menyediakan artikel-artikel terbaik untuk anda. Perlahan-lahan kami mengorak langkah menjadi media digital sehinggalah ke tahap yang kami ada pada hari ini.

Pada mulanya DNA Semuanya BOLA adalah untuk memberikan bahan bacaan bola sepak dari perspektif yang lebih teknikal, taktikal dan kritikal.

Ketua Editor Semuanya BOLA dalam rancangan Scoreboard Extra Time

Kemudian kami mengambil langkah untuk meningkatkan frekuensi artikel dengan mula menerbitkan berita ringan, desas-desus perpindahan pemain dan lain lain lagi.

Ianya adalah untuk memenuhi selera golongan pembaca kami yang mahukan Semuanya BOLA menjadi hab digital media bola sepak Malaysia.

Bagaimanapun semakin besar audiens kami, semakin tinggi cabaran kami. Semakin besar audiens kami, semakin banyak ragam untuk kami mentadbir platform media sosial kami.

Kami tidak pernah menutup hak kepada pembaca kami untuk bersuara dan berkomentar. Tetapi kadang-kala, kebebasan ini disalahgunakan oleh sebahagian kecil pembaca yang berterus-terusan mencetuskan provokasi secara berlebihan dan melakukan aktiviti spamming.

Dalam usaha untuk mengekalkan identiti Semuanya BOLA sebagai page berilmiah di media sosial, kami telah menyenaraikan 10 garis panduan asas dalam berkomentar di Semuanya BOLA.

1. Kritikal tetapi bukan terlalu emosi – Kami mengalu-alukan komentar yang kritikal terutama sekali yang konstruktif. Tetapi elakkan unsur-unsur serangan peribadi ke atas pengguna media sosial lain. Ini termasuk serangan peribadi kepada penulis artikel termasuk penulis bebas yang menyumbang artikel.

2. Membezakan pandangan peribadi dan organisasi – Kami sentiasa meraikan kebebasan memberi pendapat. Pendapat peribadi seseorang tak semestinya mewakili pendapat majoriti.

3. Menghormati pandangan orang lain – Setiap individu berhak meluahkan pandangan mereka. Elakkan daripada menyerang individu lain dengan kata-kata kesat hanya kerana mereka berbeza pendapat dengan anda.

4. Elakkan kebencian yang melampau – Setiap penyokong akan ada pasukan yang mereka tidak suka. Tetapi ia bukan lesen untuk anda membenci secara melampau. Ingat – we are rivals, not enemies.

5. Menjaga sensitiviti perkauman dan keagamaan – Kami sangat tegas dalam isu ini. Sebarang komen berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagaamaan adalah dilarang sama sekali.

6. Bertanggungjawab ke atas komen anda – Kadangkala orang lain tidak faham dengan maksud komen anda. Jika berlaku salah faham, pastikan anda memberikan penerangan kepada maksud komen anda. Kami juga berharap anda sentiasa bersangka baik terlebih dahulu ketika memahami maksud komen orang lain.

7. Beri ruang kepada peminat lain – Ada sesetengah pembaca kami lebih selesa untuk menulis komen pada artikel yang berkaitan dengan pasukan mereka. Beri ruang dan peluang untuk mereka berbincang sesama mereka yang sama minat.

8. Bersikap spesifik – Jika anda cuba menyampaikan kritikan kepada individu atau organisasi, kami berharap anda bersikap spesifik. Kritikan yang terlalu umum kadangkala tidak adil untuk orang lain. Tidak semua orang memiliki pandangan yang sama walaupun tinggal di dalam ‘rumah’ yang sama.

9. Komen dan kritikan membina – Kami sangat mengalu-alukan komen dan kritikan yang membina terutama sekali kepada penulis artikel kami. Kritikan membina dengan hujah yang berasas ini akan menjadikan kami dan pembaca lain mendapat ilmu. Kami banyak memperbaiki diri kami kerana komen yang berunsur begini dan kami percaya orang lain di luar sana pun banyak mendapat manfaat.

10. Platform milik Semuanya Bola tetapi segala pendapat dan perbincangan milik semua orang – Kami sentiasa cuba menghasilkan artikel yang boleh mewujudkan suasana perbincangan yang ilmiah. Jadi, kami sangat mengalu-alukan anda terutamanya golongan profesional meluahkan pandangan yang boleh membantu kami dan komuniti yang ada di sini.

Apa yang kami akan lakukan kepada komen yang melanggar 10 garisan panduan asas ini?

Mana-mana komen yang melanggar 10 garis panduan asas ini akan dipadam. Jika perbuatan ini dibuat secara berterusan, kami akan menghalang (ban) individu tersebut daripada memberi komen terus.

Apa yang anda boleh lakukan?

Adalah mustahil bagi kami untuk membaca setiap komen.

Jika anda menjumpai komen yang melanggar 10 garis panduan asas ini, anda boleh laporkan kepada kami melalui private message Facebook, direct message Twitter atau Instagram.

Akhir sekali, kami berharap dengan adanya panduan standard di atas, kita dapat mewujudkan platform yang lebih konstruktif dan terbuka.

Semuanya Bola bersikap universal dan terbuka. Ia bukan bermaksud kami harus terbuka kepada unsur-unsur yang tidak sihat.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN