Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali tampil memberi pandangan beliau tersendiri mengenai isu buli yang sedang berlaku dalam kalangan pemain senior dan junior di Malaysia sejak dahulu lagi.
Sebelum itu, tular di media sosial apabila bekas pemain Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Azmeer Yusof mengenai kisah buli yang terpaksa dihadapi beliau beberapa kali pada waktu lalu menerusi media sosial, Facebook.
Nama Azmeer bukan lagi suatu yang asing sebenarnya dalam kalangan peminat, selepas beliau pernah bersinar suatu ketika bersama beberapa kelab termasuk Kedah.
Menerusi perkongsian dibuat oleh bekas pemain Kuala Lumpur City (KL City) itu, Azmeer mengakui telah menghadapi lima episod lama pernah dibuli pada suatu ketika sepanjang bergelar bintang bola sepak profesional.
Walaupun begitu, tampil pula seorang lagi bekas pemain profesional iaitu Zamrie Chin yang membidas kenyataan buli itu tanpa menyebut nama Azmeer di media sosial peribadi beliau.
Azmeer Yusof Pernah Dibuli Sepanjang Bergelar Pemain Bola Sepak Profesional
“Angkat beg pun kata buli. Belum kena lagi gigi palsu atas roti gardenia. Kita kalau bukan Star memang angkat beg. Abang star dulu,” ulas Zamrie.
Pendapat kedua bekas pemain bola sepak profesional ini mendapat perhatian ramai penyokong tempatan yang turut memberi pandangan mereka tersendiri tentang itu.
Malah, Zamrie sendiri mengakui beliau tidak pernah bersetuju akan isu tersebut cuma beberapa perkara lain perlu diambil kira dan tak perlu dianggap sebagai buli.
Melihat kepada isu berkenaan, kami di Semuanya BOLA bertanyakan sendiri kepada Safee Sali mengenai hal tersebut memandangkan beliau memiliki begitu banyak pengalaman di dalam dan luar negara.
“Bagi saya itu bukan kes buli, kerana daripada zaman dulu saya dah pernah mengalaminya. Bukan masalah sebenarnya cuma itu terma kepada sikap menghormati (antara pemain jumior kepada senior).
“Ia dianggap sebagai pembinaan kepada sikap hormat dalam pasukan terutama kepada orang yang lebih tua. Bukan buli pada pandangan saya. Ia normal kalau setakat suruh basuh but dan stoking. Itu normal.
“Ini kerana perkara itu sudah pernah berlaku sejak zaman lalu, tetapi mental kita sendiri kena kuat kalau ingin menjadi seorang pemain bola sepak,” ulas Safee yang pernah mewakili Harimau Malaya suatu ketika.
Pandangan anda pula, adakah apa yang dikongsikan oleh Azmeer itu merupakan suatu perkara yang serius, atau ia hanya isu biasa yang sebenarnya sudah pun berlaku sejak dahulu lagi serta tidak perlu dipertikaikan lebih mendalam?