Bekas pemain dan legenda Manchester United, Gary Pallister berkata Paup Pogba memiliki semua kualiti yang diperlukan untuk menjadi sehebat legenda dan bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard.
Pemain tengah berusia 24 tahun itu sebelum ini dikritik kerana prestasi kurang menjadi bersama United, terutama ketika tewas kepada Tottenham Hotspur dan juga Newcastle United sebelum ini.
Prestasi Pogba dalam beberapa perlawanan lalu turut menjadikan posisi sebenar yang sesuai dengan pemain tersebut dijadikan perdebatan di kalangan penyokong dan juga pengalisa bola sepak yang mengikuti rapat perkembangan karier pemain antarabangsa Perancis itu.
Pallister yang merupakan sebahagian daripada skuad utama Manchester United di era Sir Alex Ferguson berpendapat Pogba harus melihat kepada Gerrard untuk dijadikan sumber inspirasi.
Pallister dipetik sebagai berkata:
“Pogba ialah pemain yang mempunyai fizikal dan seorang pemain tengah yang dominan ketika berada di atas padang. Pogba mungkin gemar beraksi di posisi sebelah kiri di dalam rangkaian tiga pemain tengah.”
“Pemain ini tidak mempunyai masalah ketika beliau menguasai bola. Ini kerana Pogba adalah pemain dengan visi untuk mencorak serangan. Ketika situasi tanpa bola, di situlah isunya bermula buat Pogba.”
“Pogba boleh belajar daripada Gerrard. Walaupun memiliki semua aspek penting sebagai pemain tengah menyerang, Gerrard turut bekerja keras untuk memperbaiki permainan ketika pasukan tidak memiliki penguasaan bola (off the ball).”
“Sebagai sebuah pasukan, Jose Mourinho mahu menjadikan pasukan ini menjadi unit yang lebih baik ketika tidak memiliki penguasaan bola.”
“Idea Jose sangat jelas, iaitu untuk melakukan tekanan di garisan tinggi, dan memenangi bola terus dari peluang kedua. Namun ia bukan sesuatu yang United boleh lakukan dengan baik pada ketika ini.”
“Jose mahukan lebih disiplin daripada pemain-pemain, dan itulah sebab Pogba digugurkan dalam perlawanan lalu.”
Selain daripada itu, Pallister turut menganggap desas desus dan khabar angin yang mengaitkan Pogba ke Real Madrid, dan pertelingkahan antara pemain tersebut dengan Jose Mourinho sebagai sesuatu yang mengarut.
Pallister juga berkata sebagai anggota pasukan, ia adalah tanggungjawab pemain untuk mengikuti arahan yang ditetapkan oleh pengurus.
“Saya belajar ketika di bawah bimbingan Sir Alex bahawa jika anda tidak boleh mengikuti arahan daripada pengurus, maka anda akan disisihkan,” jelas Pallister lagi.