Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) telah membuka undian untuk pemilihan nama dan logo yang bakal digunakan oleh Pahang untuk saingan musim 2021.
Undian telah bermula di laman web Pahang FA dan akan berakhir pada 1 November 2020 (esok), pada jam 5 petang. Sebanyak enam nama dan logo telah dipilih oleh panel yang dilantik selepas sesi saringan dilakukan kepada 570 penyertaan yang telah diterima PBNP. Walaubagaimanapun, terdapat juga penyertaan untuk nama sahaja.
Undian pemilihan LOGO dan NAMA baru pasukan Pahang akan bermula pada 4 petang ini (30 Oktober 2020) sehingga 1 November 2020, 5 petang.
Sebanyak 570 penyertaan telah diterima dan saringan telah dilakukan. LOGO dan NAMA yang terpilih akan dipaparkan di laman web dan aplikasi. pic.twitter.com/Z5ezqWxHie
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) October 30, 2020
Pertandingan mencipta nama dan logo pasukan Pahang untuk musim hadapan telah bermula pada 4 Oktober lalu dan telah berakhir pada 10 Oktober dengan hanya membuka penyertaan kepada warga dan penduduk negeri Pahang sahaja.
Walaupun nama Sri Pahang FC telah diumumkan secara tidak rasmi sebagai nama pasukan untuk musim hadapan, namun PBNP masih membuka ruang kepada para penyokong untuk mencipta nama lain bersama logo baharu pasukan.
Antara nama dan logo yang telah terpilih untuk memasuki pusingan akhir ini adalah Pahang FC dan Mahkota Pahang FC. Ini bermakna, berkemunginan Pahang tidak akan menggunakan nama Sri Pahang FC sekiranya pihak pengurusan merasakan nama dan logo yang menang nanti adalah pilihan terbaik buat mereka nanti.
[Undian untuk nama dan logo @officialpahang]
Undian telah dibuka. Pilihlah mana yang smart. Yang Sri Pahang macam style. Tapi tukar jadi Pahang FC la cun. Klik sini. Moh ngundi budok!https://t.co/VHeXbdUTYD
— Aiman 🇵🇸 (@koyotitos) October 30, 2020
Hasil tinjauan undian di laman web Pahang FA, salah satu logo dengan nama Mahkota Pahang FC sedang mendahului carta undian dengan jumlah 56 peratus undian. Ia adalah hasil ciptaan Aliff Helmi Ismail yang turut memiliki satu lagi rekaan logo dengan cadangan nama yang sama, namun ianya jauh tertinggal di belakang.
Pencabar terdekat kepada rekaan Aliff Helmi Ismail adalah rekaan logo daripada Mohd Amirul Akashah, dengan nama Pahang FC telah menjadi pilihannya. Setakat ini, logo ciptaan beliau telah menerima 31 peratus undian di kalangan penyokong.
Menurut PBNP, ciptaan dan reka bentuk logo mestilah baharu, asli dan tidak mengandungi unsur yang boleh dianggap sensitif dan menyinggung mana-mana agama, budaya serta kepercayaan. Ia juga perlu menggambarkan ciri-ciri patriotisme dan semangat Pahang serta menggambarkan kesatuan rakyat Pahang yang unik.
KREDIT FEATURED IMAGE: PAHANG FA
Baca lagi artikel lain mengenai Pahang:
Diberikan Lesen Kebangsaan Bersyarat, Melaka & Pahang Masih ‘Dalam Bahaya’