Di saat penyokong Perak sudah pun teruja dan tidak sabar untuk melihat sendiri jersi baharu pasukan kesayangan mereka yang akan dilancarkan dalam satu majlis di Ipoh esok, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) secara tiba-tiba mengumumkan majlis tersebut akan ditunda.
Bermula pada minggu lepas PAFA telah mengumumkan beberapa program iaitu Majlis Pelancaran Jersi, Aktiviti Sukan Mini, Persembahan Musik, Majlis Pengenalan Pemain dan Perlawanan Akhir Kejohanan Piala Presiden PAFA yang mahu dijalankan dalam satu hari [11 Januari].
Lebih serabut lagi, dalam beberapa hari ini, program-program tersebut telah beberapa kali ditukar waktunya sehingga mengelirukan penyokong setia Perak.
Skuad The Bos Gaurus akan melancarkan jersi baharu mereka untuk musim 2020 pada Sabtu ini!
Ia merupakan kerjasama pertama antara Perak FA bersama jenama sukan dari Jerman, Jako. pic.twitter.com/e5zP3ETqWW
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 8, 2020
Mungkin selepas berfikir lebih waras, barulah pihak PAFA menyedari bahawa musim baharu Liga Malaysia akan bermula lewat pada tahun ini iaitu pada 28 Februari.
Ini bermakna mereka masih ada 50 hari lagi untuk melakukan banyak perkara secara berperingkat dan melaksanakannya secara teratur tanpa menyusahkan banyak pihak.
Memetik hantaran PAFA dalam media sosial rasmi pasukan itu, majlis yang akan berlangsung di Hotel Kinta Riverfront dan Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, Ipoh itu terpaksa ditunda ke satu tarikh lain yang belum diketahui atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun, perlawanan akhir Kejohanan Piala Presiden PAFA di antara Kerian FA dan Ipoh FA akan diteruskan seperti biasa di Stadium Perak pada jam 5.00 petang.
PAFA turut memohon maaf kepada semua penyokong Perak yang sudah merancang lebih awal untuk hadir ke majlis tersebut.
Kredit Foto: Perak TBG