Mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) malam tadi telah menerima sebulat suara saranan daripada ahli gabungan supaya melantik Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Presiden PAFA yang baharu.
Bagi melicinkan proses tersebut, satu kongres luar biasa (EGM) akan diadakan pada 6 Disember ini di Casuarina Meru, Ipoh.
Kongres itu juga nanti akan melantik Timbalan Presiden yang baharu selepas penyandang sebelum ini, Datuk Adly Shah Ahmad Tah turut meletakkan jawatannya.
Perkara itu diumumkan pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad selepas mempengerusikan mesyuarat yang diadakan di Pejabat PAFA itu.
“Kami akur dengan keputusan ahli gabungan yang mahukan menteri besar menerajui Pafa dan ia adalah adalah prosedur biasa untuk lantik bos yang baharu.
“Ahli gabungan juga mahukan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dilantik sebagai Timbalan Presiden Pafa dan EGM dijangka berlangsung di Casuarina Meru pada sebelah malam.”
Datuk Muhammad Yadzan mengharapkan kemelut yang akan diselesaikan ini dapat memberikan harapan baru buat persatuan tersebut.
“Kita harapkan isu ini akan selesai dalam masa terdekat bagi memastikan hala tuju dan perjalanan persatuan untuk mengharungi musim akan datang.
“Kita yakin dengan sokongan beliau (Ahmad Faizal) kepada pasukan negeri sebelum ini yang tidak berbelah bahagi, jadi beliau mampu menjadikan Perak sebuah pasukan yang lebih baik jika menerajui Pafa kelak,” katanya.
Foto: Perak FA