Penyerang Borussia Dortmund, Paco Alcacer mendedahkan bahawa beliau langsung tidak menyesal meninggalkan gergasi Sepanyol, Barcelona untuk menyertai kelab Bundesliga itu.
Pemain berusia 25 tahun itu juga memberitahu keinginannnya untuk meninggalkan Nou Camp adalah untuk memberikan peluang buat dirinya beraksi dengan lebih gembira selepas mengharungi karier yang hambar bersama The Blaugrana.
Langkah yang diambil Alcacer memperlihatkan perkembangan positif selepas beliau kini merupakan penjaring terbanyak Bundesliga selepas menghadapi tujuh perlawanan dengan menghasilkan enam gol.
Beliau juga berjaya mencipta hatrik pada perlawanan minggu lalu ketika bertemu FC Augsburg walaupun hanya dimasukkan pada minit ke-59 bagi menggantikan Maximilian Philipp.
Kejayaan itu juga menjadikan beliau sebagai pemain kedua dalam sejarah Bundesliga yang berjaya menjaringkan enam gol dalam tiga penampilan pertama dalam saingan liga tersebut selain dari Gert Dörfel (pemain Hamburg tahun 1963).
”Diakhirnya, anda perlu membuat keputusan. Berada di Barcelona untuk beberapa tahun, tidak mempunyai peranan utama, semuanya tidak berjalan seperti yang saya mahukan.”
”Saya memilih untuk mencari minit perlawanan di tempat lain. Seorang pemain dengan keyakinan lebih baik daripada seorang yang tanpa keyakinan. Saya pergi untuk berasa lebih gembira ketika beraksi.”
”Keputusan yang saya dapat buat dan ambil. Perbincangan bersama Ernesto (Valverde) sangat sulit dan saya memilih untuk mencari minit perlawanan di mana-mana. Di Barca, dengan Luis Suarez, (Lionel) Messi, (Ousmane) Dembele, amat sukar untuk beraksi.”
Dalam pada itu, Paco Alcacer turut memberikan pujian buat rakan sepasukan baharu di Signal Iduna Park yang menjadi tunjang kepada prestasi baiknya ketika ini.
”Semua rakan sepasukan saya banyak membantu sejak hari pertama saya disini. Saya mengalami kesukaran dengan bahasa dan terhadap perubahan.”
”Mereka membuatkan semuanya jadi mudah buat saya dan saya berjaya menyesuaikan diri dengan baik.”
Kredit foto: Eurosport