Argentina telah menamakan jurulatih skuad B-17 negara tersebut, Lionel Scaloni sebagai pengurus sementara skuad senior untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Guatemala dan Colombia.
Scaloni adalah seorang bek kanan ketika bergelar pemain, dan juga merupakan pembantu jurulatih skuad kebangsaan dipilih untuk menggantikan Jorge Sampaoli yang mengundurkan diri dari jawatan tersebut selepas prestasi yang mengecewakan di Piala Dunia.
Argentina melalui Piala Dunia yang sukar di Rusia. Bergelut dan memerlukan perlawanan terakhir menentang Nigeria di peringkat kumpulan, mereka akhirnya dihantar pulang oleh Perancis yang menewaskan pasukan tersebut 4-3 di pusingan kalah mati.
Turut diumumkan untuk menganggotai barisan kejurulatihan ialah bekas pemain tengah JDT, Pablo Aimar dan jurulatih penjaga gol, Martin Tocalli.
“Melalui satu mesyuarat oleh jawatankuasa eksekutif Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), Lionel Scaloni akan diberikan tanggungjawab melatih skuad kebangsaan untuk menghadapi perlawanan persahabatan, bersama-sama Pablo Aimar dan Martin Tocalli,” ujar satu kenyataan rasmid ari AFA.
Menurut Presiden AFA, Claudio Tapia, pihak mereka akan mengambil masa yang sewajarnya untuk memilih sebelum mengumumkan calon yang benar-benar layak untuk dilantik sebagai pengurus secara tetap.
Tiga bekas jurulatih sebelum ini, Gerardo Martino, Edgardo Bauza dan Sampaoli gagal membawa sebarang kejayaan dan piala buat Argentina.
Kejohanan antarabangsa terakhir yang dijuarai oleh gergasi Amerika Selatan itu ialah Copa America pada 1993.
Argentina yang bergelar juara dunia sebanyak dua kali akan bertemu Guatemala di Los Angeles pada 7 September, sebelum terbang ke New Jersey untuk menentang Colombia empat hari kemudian.