“Orang Buat Panenka Bukan Penangka” - Penyokong Penang
Minggu lepas tendang telur pemain lawan, kali ini sepak penalti ke bulan. Aduh!
Penang secara rasminya gagal untuk mendakap trofi kejuaraan pertama mereka musim ini, selepas mereka tewas dalam saingan akhir MFL Challenge Cup 2025/2026 yang berlangsung semalam di tangan Sabah
Pada aksi berlangsung semalam, kedua pasukan tampil dengan cukup sengit yang memaksa ianya diheret sehingga ke penentuan penalti untuk mengesahkan siapa juara.
Pada aksi penentuan sepakan penalti, Penang gagal untuk menafikan tuan rumah selepas mereka tewas 3-4 dengan tendangan daripada Adib Raop mencuri tumpuan para peminat.
Apa yang Adib buat?
Adib yang menjadi salah seorang pengambil sepakan penalti menjadi antara tiga pemain yang gagal menyudahkannya selepas Stefano Brundo dan OJ Porteria ketika berdepan cabaran Damien Lim.
Aksi Adib mengundang kemarahan peminat, kerana teknik beliau yang cuba melakukan sepakan ‘panenka’ gagal dan tendangan pemain itu jauh tersasar tinggi ke atas untuk mengecewakan ramai penyokong kesayangan mereka.
Malah, ia membuka peluang buat lawan muncul selaku juara apabila sepakan seterusnya diambil pemain tuan rumah menerusi ledakan Farhan Roslan berjaya menjulang Sabah menjuarai kejohanan MFL Challenge Cup musim ini.
Aksi Adib undang kemarahan peminat
Di media sosial, nama Adib sekali lagi popular dalam kalangan penyokong Penang selepas beliau sudah pun menjadi mangsa amukan peminat kelab tersebut beberapa hari lalu.
Imbas kembali aksi Liga Super sebelum ini, Adib dilayangkan kad merah ketika Penang berdepan Imigresen, selepas tindakan susulan pertahanan itu menendang celah kelangkang pemain lawan.
Tindakan Adib itu dianggap sangat dangkal, kerana emosi beliau telah menjadikan pasukan tersebut serba kekurangan lebih awal untuk cuba memburu tiga mata penting.
Namun, Adib sempat memuat naik permohonan maaf kepada peminat dan ia telah dikongsikan menerusi media sosial untuk menenangkan kembali keadaan penyokong Penang.
Adib ulangi kemarahan penyokong
Walaupun begitu, Adib kembali menaikkan suhu kemarahan penyokong di media sosial apabila teknik sepakan penalti beliau menghampakan peluang Penang untuk cuba meraih trofi pertama mereka musim ini.
Di ruangan komen laman rasmi Penang FC, kebanyakan penyokong menyalahkan Adib yang dianggap menjadi faktor utama kegagalan pasukan tersebut di tangan Sabah.
Malah, ramai juga yang berharap supaya pemain tersebut tidak lagi dikekalkan Penang musim hadapan, selain ada turut berharap Adib memperbaiki sikap dan kualiti dalam permainan.
Bukan salah Adib sepenuhnya
Jika diikutkan, ini bukan kesalahan Adib semata-mata kerana pada situasi penentuan sepakan penalti segalanya boleh berlaku disebabkan rasa penat dan psikologi pemain sendiri.
Apa yang perlu dilakukan Adib selepas ini adalah untuk terus bangkit pada baki perlawanan seterusnya dan membuktikan diri beliau masih lagi bernilai buat Penang selaku salah satu tonggak utama.





