“Sepak Bola Bukan Terajang Tel*q!” - Penyokong Penang
Mana la penyokong Penang tak marah, sejak awal musim prestasi ditampilkan pemain berkenaan tak konsisten.
Nama pertahanan Penang, Adib Ra’op kini mengundang kecaman penyokong kelab berkenaan kerana tindakannya merugikan pasukan tersebut pada aksi baru-baru ini.
Pada perlawanan terbaharu Penang di Liga Super 25/26 menentang Imigresen di Kangar sebelum ini, pasukan tersebut sekadar mencatat keputusan seri 0-0 dengan turut kehilangan dua pemain akibat layangan kad merah.
Adib dan seorang lagi pertahanan import pasukan tersebut, Stefano Brundo terpaksa meninggalkan padang dengan lebih awal selepas mereka dilayangkan kad merah oleh pengadil atas kekasaran yang sudah dilakukan.
Dengan berbekalkan sembilan pemain sahaja, hasrat Penang untuk cuba mendapatkan kemenangan dan memperbaiki kedudukan semasa liga tidak kesampaian selain sekadar berpuas hati akan satu mata sahaja.
Di stadium, Adib antara menjadi sasaran penyokong Penang yang tidak berpuas hati dengan tindakan beliau merugikan pasukan walaupun aksi belum tamat pada separuh masa pertama.
Adib dikecam penyokong
Tindakan Adib yang menyepak celah kelangkang import Imigresen, Eduardo Sosa mengundang padah, apabila beliau dilayangkan kad merah dan terpaksa meninggalkan padang lebih awal.
Perkara tersebut mengundang kemarahan penyokong di stadium dan media sosial dengan pelbagai kritikan dilemparkan kepada pertahanan tersebut.
Ini bukan pertama kali Adib dikritik pada saingan musim 25/26, kerana beliau sering melakukan tindakan tidak sepatutnya yang mengundang padah buat pasukan sendiri untuk menanggung kesannya.
Statistik kutipan kad Adib tinggi
Musim ini sahaja menyaksikan Adib sudah dilayangkan enam kad kuning dan dua merah selepas beraksi dalam 27 perlawanan di pentas domestik.
Jika diikutkan, pemain berusia 26 tahun ini antara pertahanan tempatan yang cukup berbakat besar dan mampu menjadi tunjang utama kekuatan Penang serta Harimau Malaya.
Namun beberapa tindakan tak sepatutnya yang didorong dengan emosi menyebabkan Penang sering menghadapi masalah sebelum itu pada aksi-aksi terdahulu.
Penang perlu perbaiki pelbagai aspek
Selain isu disiplin pemain di atas padang, Penang sebenarnya perlu memperbaiki pelbagai lagi aspek lain seperti,
•Kreativiti rencana serangan
•Persefahaman antara pemain
•Intensiti permainan ditingkatkan
Apatah lagi, Penang juga bakal menghadapi cabaran lebih getir pada aksi final kedua MFL Challenge Cup akan datang bertemu Sabah di Likas.
Kelibat Adib pastinya akan terus menjadi tumpuan peminat yang mengharapkan beliau mampu lebih berdisiplin serta mengawal emosi daripada menjadi punca tidak sepatutnya buat pasukan berkenaan.







