Bekas pemain skuad kebangsaan England, Owen Hargreaves yakin bahawa bintang muda Bayer Leverkusen, Kai Havertz mampu untuk menyerlahkan bakat hebat dimiliki sekiranya beliau berhijrah ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Hargreaves yang mencipta nama ketika menyarung jersi Bayern Munich dalam pada itu turut melabelkan pemain berusia 20 tahun tersebut memiliki campuran kualiti antara Micheal Ballack dan Mesut Ozil.
Havertz juga mencuri tumpuan ketika kempen Bundesliga kembali bersambung apabila menjaringkan dua gol dalam membantu Leverkusen menundukkan Werder Bremen 4-1 di BayArena.
Melihatkan kepada kualiti dimiliki pemain kelahiran Aachen itu, Hargreaves merasakan Havertz kini sebaris dengan pemain muda berbakat besar dalam saingan Bundesliga iaitu dua pemain Borussia Dortmund, Erling Haaland dan Jadon Sancho.
”Dia pemain yang istimewa. Dia adalah pemain generasi seterusnya. Saya fikir semua pemain terbaik Jerman akan beraksi di Bundesliga buat sementara dan kemudiannya akan berkelana ke Liga Perdana Inggeris, Barcelona atau juga Real Madrid.”
”Marc-Andre Ter Stegen, Toni Kroos dan Mesut Ozil semuanya berhijrah ke luar negara dan mereka melakukannya dengan baik,” ujar Hargreaves menurut laporan Goal.
”Bakat dalam saingan Bundesliga mendapat permintaan yang tinggi kerana mereka berpelajaran dan sangat profesional. Dia [Havertz] akan menjadi pemain yang seterusnya.”
”Tumpuan kini terarah kepada Haaland dan Sancho tetapi Kai Havertz adalah seorang daripada perspektif Jerman itu sendiri. Dia istimewa dan seperti campuran Micheal Ballack dan Mesut Ozil.
”Dia merupakan pemain yang ‘super’ dan saya merasakan ramai penyokong dari enam pasukan terbaik Engalnd akan menyaksikan dan merasakan pemain seperti ini patut menyertai pasukan mereka.”
”Dia boleh beraksi untuk Liverpool, Manchester United dan Manchester City,” tambah Owen Hargreaves lagi.
Havertz yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 pada 11 Jun ini berjaya menjaringkan 12 gol dalam 35 penampilannya bersama Bayer Leverkusen pada musim 2019/20.