‘Otak Geliga Boleh Buat Batu Cincin’ – Kisah Gila Ryan Reynolds & Rob McElhenney Menginspirasi Wrexham

Rob McElhenney Ryan Reynolds Wrexham 2023 otak geliga

Otak geliga pemilik bersama Wrexham, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney antara yang menjadi buah mulut saat kelab tersebut kembali ke Football League selepas 15 tahun terperuk di ‘non-league’ bola sepak Inggeris.

Berbaki satu lagi perlawanan, mereka berkelebihan empat mata daripada pencabar terdekat, Notts County yang mengumpul 106 mata. Mengapa dua individu tersebut menjadi tumpuan saat ini? Apa yang mereka lakukan?

Ryan Reynolds sinonim dengan watak lakonannya, Deadpool memberi inspirasi kebangkitan kelab ketiga tertua di dunia itu kembali ke peta bola sepak English. Agaknya apa yang dilakukannya sejak mengambil alih?

Beli dengan nilai $2.5 juta (RM 11.09 juta)

Reynolds dan McElhenney, kedua-duanya tiada pengalaman dalam dunia bola sepak. Mereka adalah pelakon tetapi disebabkan filem jugalah yang membuatkan McElhenney mendapat inspirasi untuk membeli Wrexham.

McElhenny telah mendapat inspirasi selepas menonton dokumentari bersiri, Sunderland ‘Til I Die yang telah diterbitkan pada 2018 buat Sunderland.

Ketika itu, kelab tersebut dimiliki oleh kelab penyokong sejak 2011 selepas kelab tersebut melalui masa-masa sukar – hampir lumpuh sepenuhnya.

Pada tahun 2020, mereka telah bertemu dengan lebih 2,000 penyokong kelab itu secara atas talian menerusi Zoom dan memaklumkan minat untuk membeli Wrexham. Malah, mereka turut menandatangani pajakan stadium selama 25 tahun sebagai jaminan yang kelab tersebut akan kekal di sana.

Dan nilai yang diberikan kepada mereka adalah $2.5 juta (RM11.09 juta).

Bayangkan, ketika Covid-19 melanda dunia, mereka berani membeli sebuah kelab. Di mata semua orang, ia bakal menjadi satu kerugian buat mereka.

Dunia barangkali terhenti seketika, tetapi tidak bagi otak geliga mereka.

Faktor Wrexham jadi pilihan mereka

Dalam 158 tahun penubuhannya, penyokong sering sengsara. Seketika di atas, banyak masa terhumban di bawah. Mereka juga hampir muflis.

Kelab ini boleh dikatakan langsung tiada masa depan tetapi Reynolds dan McElhenney tetap tertarik untuk mengambil alih. Stadium mereka boleh penuh saban masa dengan kapasiti 10,771 penonton pada satu-satu masa.

Mereka percaya sesuatu boleh dilakukan kepada kelab tertua di Wales itu.

Selain penyokong, faktor kedudukan Wrexham juga menarik minat mereka.

Racehorse Ground, stadium Wrexham adalah 85 km dari Old Trafford dan Etihad, 65 km dari Anfield, 104 km dari Molineux (Wolverhampton),

Kejayaan seiring dalam dan luar padang

Perkara pertama yang mereka lakukan adalah menerbitkan dokumentari bersiri tentang pasukan berjudul, Welcome to Wrexham pada 2022.

Bagaimana dengan dokumentari bersiri tersebut mereka menjana hasil lebih kurang $3.2 juta (RM14.2 juta) buat kelab kecil tersebut? Ia satu pelaburan yang dilihat bijak daripada mereka yang merupakan pelakon.

Ketika ini, selepas mula ditayangkan pada Ogos, ia telah menerima 97 peratus skor penonton dan mendapat lampu hijau untuk musim kedua.

Daripada penjanjian penerbitannya, Wrexham memperolehi lebih kurang $400 ribu (RM1.78 juta) setiap jam tayangan untuk lapan bahagian filem.

Malah, disamping kejayaan dokumentari bersiri itu, kelab tersebut juga akhirnya menamatkan penantian selama 15 tahun untuk promosi ke League 2. Malah mereka menjadi pasukan pertama yang mencapai 110 mata.

Janji mereka ketika mengambil alih telah ditunaikan dengan kadar segera.

Kesan ‘Welcome to Wrexham’ buat kelab?

Apa yang mereka perolehi daripada tayangan Welcome to Wrexham? Selain menjana pendapatan buat kelab, mereka turut meningkatkan pengikut di  akaun media sosial milik mereka sehingga ke hari ini. Di Twitter, berlaku peningkatan sebanyak 364 peratus dan di Instagram sebanyak 670 peratus.

Kejadian sebegini kita akan dapat dilihat saat pemain Malaysia berhijrah ke kelab kecil di Eropah seperti mana ketika Luqman Hakim menyertai KV Kortrijk – pengikut laman sosial mereka meningkat secara mendadak. Ini adalah satu impak yang besar buat kelab kecil seperti Wrexham.

Kehadiran dua figura perfileman ini juga berhasil menjemput beberapa syarikat besar untuk penajaan jersi mereka seperti TikTok, Expedia, Vistaprint dan Aviation American Gin. Ini juga impak daripada mereka.

Malah, pembelian tiket bermusim kelab juga meningkat tiga kali ganda.

Kesemua ini membawa Wrexham ke mata dunia – sesuatu yang tidak pernah mereka bermimpi. Bayangkan perlawanan sekecil kelayakan Piala FA antara Wrexham dan Blyth Spartans telah ditayangkan di ESPN2 dan ESPN+ membawa kepada tontonan lebih kurang 100 juta isi rumah.

Ini adalah contoh terbaik bagaimana seseorang mengambil alih pasukan komuniti dan menggunakan pemasaran strategik serta media kreatif untuk mencapai ke tahap global. Bukan hanya Reynolds dan McElhenney dapat keuntungan, malah penyokong mereka juga mendapat kesan sampingan.

Otak geliga Reynolds dan McElhenney ini boleh dibuat batu cincin!

Ini adalah hasil olahan daripada bebenang di Twitter oleh Joe Pompliano.

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN