Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara, Datuk Ong Kim Swee telah mengumumkan senarai akhir 23 pemain untuk menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang akan berlangsung di Jiangsu, China dari 9 hingga 27 Januari 2018.
Daripada 26 pemain yang dibawa ke latihan pusat fasa kedua di Mokpo, Korea Selatan, tiga pemain telah digugurkan iaitu pemain pertahanan, Raphi Azizan Mariappen, 21, (PJ Rangers) serta dua pemain tengah, Ahmad Khairil Anuar Zamri, 22, (Perak) dan K Thivandaran, 18, (Pulau Pinang).
“Ketiga-tiga pemain yang digugurkan ini dilihat masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lama. Namun mereka menunjukkan kesungguhan selama berada dalam pasukan ini.
“Mereka bertiga akan pulang ke tanah air pada Sabtu (esok) tetapi masih perlu bersedia untuk ke China jika terdapat mana-mana pemain dalam senarai 23 pemain mengalami kecederaan sebelum sepak mula perlawanan pertama pada 10 Januari.
“Ia satu keputusan yang sukar untuk saya menamakan senarai akhir 23 pemain ini, namun saya percaya kesemua 23 pemain yang dipilih ini merupakan yang terbaik bagi menghadapi kejohanan kali ini,” kata Kim Swee.
Sepanjang dua minggu fasa latihan pusat kedua di Mokpo, mereka telah mengharungi tiga perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan Korea Selatan yang menyaksikan mereka seri 1-1 dengan Mokpo City FC pada 20 Disember (jaringan Syamer Kutty Abba), menewaskan Honam University 1-0 pada 22 Disember (jaringan Kogileswaran Raj) dan seri 1-1 dengan Jeonju Citizen FC pada 28 Disember (jaringan Safawi Rasid).
Barisan 23 pemain ini akan berlepas dari Seoul, Korea Selatan ke Nanjing, China pada Sabtu (esok) untuk perlawanan persahabatan terakhir bertemu skuad Bawah 23 Tahun Syria di Stadium Pusat Latihan Jiangsu, Nanjing pada Jumaat depan, 5 Januari 2018.
Kemudian, mereka dijadualkan tiba di Changshu pada 6 Januari bagi menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.
Jika skuad negara muncul sebagai dua pasukan teratas kumpulan, aksi suku akhir akan berlangsung pada 20 Januari diikuti separuh akhir pada 23 Januari dan final pada 27 Januari 2018.