Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee mengakui dirinya sedikit emosi sehingga meluru ke dalam padang untuk berhadapan sendiri dengan pengadil perlawanan kerana kurang berpuas hati dan tindakan beliau itu telah mengakibatkan dirinya menerima kad kuning.
Dalam situasi tegang, beberapa keputusan pengadil telah dipersoalkan terutama sewaktu jaringan pertama Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga Kim Swee bertindak sedikit agresif.
“Dalam setiap perlawanan, keputusan pengadil tidak boleh dipersoalkan tetapi bila berada dalam padang situasi jadi berlainan kerana pandangan pengadil dan orang di luar tidak sama.
“Contohnya, situasi ketika saya masuk padang memang satu kesalahan dan saya percaya juga kad merah dilayangkan kepada Feroz Baharudin sepatutnya bukan kad kuning kedua untuk pemain itu,” katanya.
Tambah Kim Swee, Feroz Baharudin sememangnya memenangi bola terlebih dahulu kerana ia nampak dengan jelas situasi tersebut tetapi itu adalah keputusan muktamad daripada pengadil.
Sama juga seperti layangan kad kepada dirinya juga namun beliau menerima dengan hati terbuka.
Dalam perlawanan separuh akhir pertama yang berlangsung di Likas semalam, beberapa aksi tegang terjadi melibat beberapa terjahan keras dari beberapa pemain Sabah sehingga pengadil terpaksa keluarkan 11 kad kuning dan satu kad merah.
Pada masa yang sama, bekas pengendali kebangsaan ini optimis Sabah masih mempunyai peluang di perlawanan kedua nanti kerana ketinggalan satu jaringan tidak mustahil untuk mereka bangkit di Stadium Sultan Ibrahim.
“Kita mempunyai beberapa peluang terutama situasi bola mati dan kita turun tanpa tujuh atau lapan tonggak utama namun pemain muda yang diturunkan ini dapat memainkan peranan dengan baik dan tidak takut dalam perlawanan besar seperti ini,” ujar Kim Swee.
Situasi dalam kem Sabah mungkin lebih buruk selepas pemain utama mereka seperti Rizal Ghazali turut termasuk dalam senarai pemain tercedera tetapi Kim Swee ingin melihat terlebih dahulu laporan dari doktor perubatan sama ada mereka ini mampu diturunkan atau tidak.
Namun itu bukan isu utama kerana apa pun terjadi, sebagai jurulatih dirinya perlu mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini supaya Sabah dapat tampilkn skuad terbaik dalam perlawanan kedua nanti.
Melihat keadaan ketika ini, Sabah mempunyai peluang untuk merebut slot Piala AFC musim hadapan tetapi perlu melepasi JDT terlebih dahulu dan ini bukan tugas mudah namun ia tidak mustahil.
Andai kata Sabah tewas di separuh akhir, peluang tetap masih ada tapi harus mengharapkan Terengganu mengatasi Selangor untuk ke perlawanan akhir.