Mengimbau Kegemilangan Ronaldo ‘El Fenomeno’ Di Piala Dunia 2002

Ronaldo Piala Dunia 2002

Kejayaan Brazil menjulang Piala Dunia FIFA buat kali kelima pada tahun 2002 pastinya tidak dapat dipisahkan dengan kehebatan Ronaldo Nazario yang merupakan penjaring kedua-dua gol dalam aksi final menentang Jerman.

Bangkit dari kecederaan serius beberapa bulan sebelum kejohanan berlangsung, pemain kelahiran Rio de Janeiro hadir dengan misi bangkit dari kekecewaan empat tahun sebelum itu yang menyaksikan Brazil tewas kepada Perancis dalam perlawanan akhir.

Brazil melengkapkan aksi kumpulan dengan penuh bergaya. Menjaringkan 11 gol dalam tiga perlawanan, empat daripadanya disumbangkan oleh Ronaldo. Mereka kemudian menyingkirkan Belgium, England dan Turki.

“Ibu dan bapa saya sentiasa tegas mengenai pelajaran, jadi bola sepak hanyalah sekadar hobi sahaja pada awalnya,” ujar Ronaldo dalam satu temubual bersama Square Mile.

“Tetapi apabila usia saya menginjak 12 tahun, saya mula serius memberi tumpun terhadapnya. Kesannya saya mula mendapat gred yang teruk di sekolah, penyudahnya saya abaikan pelajaran dan mula dedikasikan seluruh diri saya terhadap bola sepak.

“Saya banyak main bola sepak ‘indoor’ yang memerlukan kawalan bola yang dekat dengan kaki. Latihan itu banyak membantu saya.

“Saya menerima banyak dokongan. Ibu bapa saya sentiasa hadir setiap perlawanan yang saya main. Jauh di sudut hati, saya sentiasa menghargai semua sokongan yang keluarga berikan kepada saya sebab kita tak sangka semasa kecil yang kita akan menjadi pemain bola sepak profesional satu hari nanti.

“Saya mengingati Piala Dunia 1982 dengan baik walaupun saya cuma berusia enam tahun ketika itu. Piala Dunia seterusnya masih sama dan kemudian juga, kami terus gagal. Memori itu kekal di ingatan.

“Sehinggalah 1994, akhirnya barulah kami berjaya. Selaku kanak-kanak kami mengalir air mata meraikannya. Jadi sudah tentu saya berbangga dan satu penghormatan apabila menjadi sebahagian daripada skuad Brazil. Ia ibarat berkhidmat dalam pasukan tentera untuk negara di medan perang.

“Bermain dengan skuad Brazil adalah mewakili seluruh rakyat negara ini. Piala Dunia berbeza dengan kejohanan lain. Berpeluang bermain untuk negara adalah satu perasaan yang cukup istimewa.

“Piala Dunia sukan bola sepak ni bukannya seperti matematik yang kami boleh tambah tolak dan kira-kiranya jelas. Kita tinggal di dalam dunia yang kita tak pernah jangka sebarang keputusan.

“Dalam Piala Dunia kami akan lihat pasukan pilihan bermain dengan menakjubkan, namun mereka akhirnya tewas. Drama seperti itulah yang buat ramai orang jatuh cinta dengan bola sepak.

“Perjalanan ke stadium mengerikan. Keadaan trafik di Tokyo sangat teruk dan kami tersekat dalam kesesakan selama satu setengah jam. Kami agak risau jika kami terlewat. Kami sempat tiba tetapi ia membuatkan kami cemas.

“Semasa Piala Dunia berlangsung, di dalam latihan jurulatih kami [Luiz Felipe] Scolari cukup tak suka dengan kekerapan penyerang menunggu lantunan bola daripada penjaga gol. Dia risau keadaan itu boleh mencederakan pemainnya.

“Semasa di final, saya menerima bola dan bermain dengan Rivaldo, menjangkakan dia bermain dengan satu-dua, tetapi dia menyepak terus ke arah gol. Saya terus berlari ke depan, berharap [Oliver] Kahn akan menepisnya dan saya berada tepat di sana untuk menolak bola ke dalam gol.

“Gol kedua lebih menarik. Ia bermula dengan serangan balas dari sebelah kanan dengan Kleberson menghantar bola ke bahagian tengah.

“Rivaldo mendengar saya menjerit untuk melepaskannya dan saya cukup tenang untuk mengawal dengan sempurna sebelum melepaskan rembatan ke sudut supaya Kahn tak dapat mencapai percubaan saya.

“Perasaan ketika itu sukar untuk dijelaskan. Ia benar-benar seperti berada di kemuncak dunia. Ia satu kepuasan, kebanggaan dan pencapaian teragung.

“Bayangkan bila anda memenangi Piala Dunia, menjaringkan dua gol di final, dengan semua masalah yang saya hadapi beberapa bulan sebelum kejohanan, kembali dari kecederaan yang serius, bagi saya ia merupakan detik paling penting dalam hidup.”

Ronaldo memenangi anugerah kasut emas untuk jaringan terbanyak kejohanan. Pada tahun yang sama beliau menyertai Real Madrid bagi melengkapkan skuad ‘galacticos’ di samping Zinedine Zidane dan David Beckham. Jualan jersinya memecahkan semua rekod pada hari pertama.

Daripada 98 perlawanan di peringkat antarabangsa, Ronaldo telah menjaringkan 62 gol. Beliau telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia Tahunan FIFA sebanyak tiga kali dan juga merupakan dua kali pemenang anugerah Ballon d’Or.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN