Quantcast

BERITA

Ong Kim Swee Perlukan Khidmat Pakar Nutrisi Dan Penganalisis Prestasi

Skuad Malaysia bawah 23 tahun dilihat tidak lengkap tanpa khidmat dua pegawai dari Institut Sukan Negara (ISN) yang terdiri daripada pakar nutrisi dan psikologi, Norazmi Ramly dan penganalisis prestasi, Ahmad Hilmi Abdul Latif.

Menurut ketua jurulatih skuad itu, Datuk Ong Kim Swee, beliau berharap ISN dapat melepaskan dua pegawai tersebut untuk bersama pasukannya di Kejohanan AFF B-22 di Kemboja bulan depan dan kelayakan AFC B-23 pada bulan Mac nanti.

Bercakap dalam Berita Harian, Kim Swee turut mengesahkan dua pegawai itu dilepaskan menyertai pasukan dalam latihan dan tiga aksi persahabatan di Bangkok, Thailand, bermula Ahad ini.

“Lewat malam semalam saya ada menerima mesej daripada pegawai ISN menyatakan mereka (Norazmi dan Ahmad Hilmi) dilepaskan untuk program di Bangkok saja.

“Saya masih menunggu masa sesuai untuk bertemu pegawai atasan dan saya harap mereka akan dilepaskan (sertai pasukan) ke Kejuaraan AFF dan paling penting adalah Kelayakan Kejuaraan AFC,” katanya.

Skuad bawah 23 tahun negara sudah mula menjalani latihan semalam. FOTO: FAM

Ketika ditanya mengenai cadangan mewujudkan jawatan pakar nutrisi dan penganalisis prestasi pasukan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kim Swee setuju dan pernah meminta salah seorang pegawai daripada ISN tersebut bekerja dengan FAM.

“Saya ada rekomen Ahmad Hilmi untuk menjadi sebahagian daripada FAM awal minggu lepas tetapi ia memerlukan masa kerana ada beberapa perkara perlu dipertimbangkan.

“FAM memang dalam proses untuk mempertimbangkan jawatan ini tetapi setakat ini, kita akan terus menggunakan khidmat dari ISN dan saya harap beliau dapat menyertai kami.

“Jika tidak, saya tidak akan dapat mengadakan sesi rakaman video bersama pemain dan ia tidak bagus untuk persediaan menghadapi perlawanan yang akan datang,” jelasnya.

Pemain Kedah, Kelantan dan Pahang belum lapor diri

Sesi latihan pusat semalam menyaksikan enam pemain dari Kelantan, seorang pemain dari Kedah dan dua pemain Pahang tidak menyertai pasukan tersebut.

“Kita akan lihat situasi ini dalam beberapa hari sebelum ke Bangkok tetapi saya rasa itu tidak jadi masalah besar.

“R Kogileswaran dan Mohd Faisal Abdul Halim akan bersama kita di Bangkok kerana mereka berada di sana bersama pasukan Pahang,” katanya.

Sebelum bertolak ke Bangkok, skuad negara dijadualkan berdepan MIFA dalam aksi persahabatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada hari Sabtu ini.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!