Ketua Jurulatih Bawah 23 Tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan pasukannya sudah mula mempamerkan peningkatan dari satu ke satu perlawanan.
Namun begitu, kemenangan tipis 1-0 skuad bawah 23 tahun (B-23) negara ke atas Honam University kelmarin dalam aksi persahabatan di Korea Selatan bukan tiket untuk pemain berasa selesa.
Bercakap kepada Sinar Harian, beliau mengharapkan pemainnya supaya lebih yakin dalam mengawal keadaan dan menyerap asakan lawan dalam aksi persahabatan terakhir pada 28 Disember nanti.
“Saya melihat pemain sudah dapat mengadaptasi keadaan cuaca di Korea.
“Boleh dikatakan tidak banyak kelemahan yang begitu ketara dalam perlawanan ini, namun kesebelasan hari ini perlu lebih yakin terutama mengawal asakan lawan serta bermain dengan mengikut corak kekuatan kita.
“Tapi saya akui keserasian pemain-pemain sudah bertambah baik dari dua perlawanan yang telah dihadapi ini, namun saya tetap mengharapkan mereka dapat mengekalkan aksi konsisten bagi mengharungi perlawanan terakhir di Korea pada 28 Disember nanti,” katanya.
Dalam perlawanan persahabatan dengan Honam Universiti itu, Kogileswaran Raj muncul wira skuad B23 negara dengan menyumbang kepada gol tunggal di minit akhir perlawanan.
Kim Swee turut mengesahkan beliau akan terus memberi ruang kepada semua pemain untuk diturunkan dalam aksi persahabatan di Korea ini.
Daripada 26 pemain yang dibawa ke latihan pusat fasa kedua di Mokpo, 3 pemain akan digugurkan lalu menjadikannya kepada 23 pemain terbaik yang dibawa ke China.
“Kombinasi terbaik berkemungkinan besar akan diturunkan ketika perlawanan terakhir di China sebelum perlawanan pertama Kumpulan C menentang Iraq pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di China.
“Buat masa ini, kesemua pemain akan diberi ruang yang sama bagi memastikan setiap pemain faham corak taktikal sebenar pasukan kita sebelum berangkat ke China, nanti,” kata Kim Swee.
Skuad muda negara ‘berkampung’ di Korea Selatan sejak 17 Dis lepas untuk sesi latihan dan aksi persahabatan bagi menghadapi pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak AFC B-23 2018 di China, Januari depan.
Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Iraq, Jordan dan Arab Saudi pada kejohanan yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 27 Jan 2018.