Kegagalan skuad bawah 23 (B-23) negara melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 tahun depan memang sukar untuk diterima oleh semua pihak apatah lagi Malaysia menamatkan kempen kelayakan tanpa kalah.
Bagi pengendali skuad itu Datuk Ong Kim Swee, beliau mengakui kegagalan skuad negara memanfaatkan peluang untuk mencatat kemenangan besar ke atas Loas membawa padah kerana jumlah jaringan memainkan peranan yang penting dalam penentuan slot tempat kedua terbaik.
Pada masa yang sama berharap format pertandingan kelayakan kejohanan tersebut dapat diperhalusi oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) supaya ‘fair play’ dapat diberikan kepada semua pasukan yang bertanding.
Amat perit terkeluar dari saingan #AFCU23 walaupun tanpa tewas! Kesungguhan dan komitmen para pemain amat dihargai namun banyak lagi perlu diperbaiki. Terima kasih juga pada semua penyokong yang hadir bagi memberi sokongan padu pada pemain U23 🇲🇾 selama kempen kelayakan ini. pic.twitter.com/xtBrcrG21z
— OKS (@OKS_Rhinos) March 27, 2019
“Kami hanya boleh menyalahkan diri sendiri sebab kami tidak menjaringkan banyak gol ketika bertemu Laos dan kami terpaksa menerima hakikat tersebut.
“Kalau dapat dua atau tiga gol menentang Laos, mungkin keadaan berbeza. Saya tidak boleh menyalahkan sesiapa sebaliknya diri sendiri yang salah.
“Rasa ralat tak perlu cakap. Jika kami tidak layak di peringkat kelayakan dekat Bangkok pada 2017 saya boleh terima sebab kami tewas kepada Thailand namun kali ini susah nak telan sebab kami tidak kalah. Kumpul tujuh mata tetapi tidak layak.
“Saya juga menggesa agar AFC dapat memperhalusi format pertandingan di peringkat kelayakan agar semua pasukan dapat diberi keadilan yang sama rata seperti aksi terakhir dapat diadakan pada waktu yang sama atau badan induk Asia itu boleh memikirkan cara yang lebih efektif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tuan rumah pusingan akhir, Thailand, tewas 0-4 kepada Vietnam malam tadi, yang menyaksikan kekurangan slot tempat kedua kepada empat pasukan memandangkan mereka sudah layak secara automatik.
Australia, Iran, Syria dan Arab Saudi, selaku empat pasukan terbaik di tempat kedua kumpulan, kemudian menyingkirkan Malaysia daripada slot itu sepertimana slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga.
Penyingkiran itu menyaksikan edisi tahun lalu kekal sebagai penyertaan tunggal skuad negara sepanjang sejarah empat edisi kejohanan dwitahunan itu.
Sebagai rekod, Malaysia melakukan penampilan sulung dalam pusingan akhir kejohanan itu di China tahun lalu dan berjaya ke suku akhir sebelum disingkirkan Korea Selatan.