Ketika senarai nama pemain diumumkan kira-kira sejam sebelum sepak mula pertemuan Liverpool menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Anfield, tiada nama Roberto Firmino di dalam kesebelasan utama.
Mengambil tempat penyerang antarabangsa Brazil itu ialah Daniel Sturridge, setelah kecederaan mata yang dialami oleh Firmino sebelum ini dikatakan antara sebab Jurgen Klopp cuba mahu merehatkan pemain ini.
Percaturan oleh Klopp tampak menjadi pada mulanya apabila Sturridge meletakkan finalis musim lalu itu di hadapan pada minit ke-30 perlawanan.
Sturridge bijak menyempurnakan hantaran lintang Andrew Robertson sebelum pemain tengah veteran, James Milner melebarkan pendahuluan Liverpool enam minit kemudian dari sepakan penalti.
Pengadil perlawanan memberikan penalti kepada Liverpool selepas pemain tengah, Georginio Wijnaldum dijatuhkan oleh pertahanan lawan.
Sebelum babak pertama berakhir, Thomas Meunier merapatkan kedudukan buat PSG, sebelum Liverpool dikejutkan oleh gol penyamaan Kylian Mbappe ketika perlawanan berbaki tujuh minit.
Namun impian PSG untuk membawa pulang sebarang mata dihancurkan oleh Roberto Firmino yang dibawa masuk oleh Klopp untuk menggantikan Sturridge pada minit ke-72 perlawanan.
Berhadapan sehingga lima pemain pertahanan PSG di penjuru kiri kotak penalti lawan, Firmino menggunakan ruang yang ada untuk melepaskan satu rembatan rendah deras ke penjuru kanan gawang PSG di masa kecederaan.
Ia adalah perlawanan yang sengit, dan Klopp lega dengan kebangkiran semula anak buahnya, tatkala kemenangan hampir dinafikan oleh PSG.
Gol tersebut turut mencetuskan keraian ‘one-eyed assasin’ oleh Firmino, yang turut digemari oleh Klopp dan penyokong Liverpool di seluruh dunia.
Sasksikan gol yang dijaringkan oleh Roberto Firmino dalam kemenangan 3-2 Liverpool ke atas PSG melalui pautan di bawah.