Olivier Giroud bukanlah pemain pilihan utama Maurizio Sarri pada musim ini terutamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris tetapi beliau menegaskan bahawa masih gembira bersama kelab London itu.
Situasi yang mungkin sedikit melegakan pihak pengurusan The Blues selepas Chelsea tidak dibenarkan untuk membuat sebarang transaksi sepanjang musim 2019/20 akibat hukuman dijatuhkan FIFA.
Giroud tanpa berselindung menjelaskan pendirian mengenai masa depannya bersama Chelsea.
”Saya berasa sangat gembira berada di kelab ini. Saya mungkin kekurangan minit perlawanan tetapi saya tidak pernah berputus asa.”
”Itulah mentaliti saya. Begitulah cara saya dilahirkan, masih ada satu tahun lagi.”
Berdarah biru
Bakal berdepan bekas kelabnya, Arsenal pada aksi final Liga Europa di Baku, Giroud melaungkan kesetiaannya terhadap Chelsea dengan menyifatkan darah yang mengalir dalam dirinya ketika ini adalah berwarna biru (merujuk kepada warna rasmi pasukan Chelsea).
”Saya sentiasa gemar untuk beraksi menentang bekas kelab. Ia akan menjadi sukar dan ia amat menyakitkan jika ia tidak menjadi seperti yang diharapkan tetapi anda perlu meletakkan ke tepi segala perasaan dan memori.”
”Saya menikmati tahun-tahun berada di sana (Arsenal). Ia telah menjadi sebahagian besar daripada karier saya, kelab pertama saya di England dan ia sentiasa menjadi yang istimewa.”
”Tetapi ketika ini saya merasakan darah saya adalah berwarna biru. Sama seperti pasukan kebangsaan, biru sangat sesuai buat saya.”
Walaupun kurang mendapat tempat dalam saingan liga, Olivier Giroud menjadi watak penting buat Chelsea dalam kempen Liga Europa selepas berjaya menjaringkan 10 gol daripada 13 perlawanan sekaligus menjadikannya sebagai penjaring terbanyak ketika ini bersama penyerang Eintracht Frankfurt, Luka Jovic.