Formula Syed Saddiq Tiru Akademi Aspire Untuk Ke Piala Dunia 2030 Tidak Relevan

Qatar muncul juara Piala Asia buat pertama kali selepas menewaskan Jepun 3-1 di Stadium Zayed Sports City pada 1 Februari lalu. Penyerang Qatar, Almoez Ali membuka jaringan melalui sepakan gunting pada minit ke-12 untuk gol kesembilannya di kejohanan kali ini – mengatasi rekod Ali Daei dari Iran yang menjaringkan lapan gol pada edisi 1996.

Abdulaziz Hatem menambah jaringan pada minit ke-27 untuk Qatar selesa di depan pada babak pertama sebelum Takumi Minamino merapatkan jurang pada minit ke-69. Qatar bagaimanapun mengesahkan kejuaraan menerusi Akram Afif yang menyempurnakan sepakan penalti tujuh minit sebelum tamat permainan.

Qatar tidak pernah mara melebihi peringkat suku akhir Piala Asia sebelum ini, tetapi menjaringkan 16 gol tanpa balas dalam laluan ke final tahun ini dan mencatat rekod enam kemenangan bersih.

Produk Akademi Aspire

Menariknya mengenai skuad Qatar yang berjaya menawan Asia ini, tujuh daripada kesebelasan utama pemain yang memulakan perlawanan adalah hasil produk Akademi Aspire.

Saad Al Sheeb (penjaga gol); Tarek Salman, Bassam Al-Rawi, Abdelkarim Hassan (pertahanan); Assim Madibo (tengah)’ Akram Afif, Almoez Ali (penyerang); manakala dua lagi pemain Ahmed Alaaeldin, Salem Al Hajri dimasukkan pada babak kedua perlawanan – menjadikan sembilan pemain dari akademi tersebut beraksi di perlawanan akhir itu.

Skuad Qatar yang mencipta sejarah muncul juara Piala Asia 2019 (Photo by Francois Nel/Getty Images)

Daripada keseluruhan 23 pemain di dalam skuad Qatar yang muncul juara Asia di Emiriah Arab Bersatu itu, 14 kesemuanya merupakan produk Akademi Aspire. Rata-rata pemain ini sememangnya sudah dikenali lama oleh jurulatih, Felix Sanchez sejak usia remaja. Barisan pemain yang sama juga merupakan juara Piala AFC Bawah 23 Tahun pada 2014 – menjadikan skuad Qatar ini sebagai generasi pertama akademi bola sepak yang dianggap sebagai termewah di dunia.

Formula Malaysia ke Piala Dunia 2030

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Y.B Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Malaysia akan mencontohi Qatar dalam membangunkan bola sepak sehingga menjadi juara Asia. Syed Saddiq kagum dengan cara Qatar menaikkan prestij bola sepak mereka dengan program daripada Akademi Aspire.

Formula tersebut tampak seperti jawapan terbaik kepada bola sepak negara yang tidak pernah memenangi apa-apa kejohanan utama di peringkat Asia. Kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat di peringkat rantau Asia ialah gangsa di Sukan Asia 1974 yang diadakan di Tehran.

Kredit: bazookapenaka.com

Manakala di peringkat dunia, Malaysia pernah layak dua kali ke Sukan Olimpik 1972 di Jerman Barat dan juga Sukan Olimpik 1980 di Soviet – sebelum menarik diri. Selain daripada itu, tidak ada pencapaian lain yang boleh kita banggakan.

Berdasarkan kejayaan luar biasa oleh Qatar, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan bahawa tidak mustahil untuk Malaysia muncul sebagai jaguh Asia dan tampil dalam temasya terulung bola sepak – Piala Dunia pada 2030 nanti – dengan pelaksanan program seperti Akademi Aspire di negara ini.

Apa itu Akademi Aspire?

Akademi Aspire diwujudkan oleh Qatar dalam usaha negara tersebut menghasilkan atlet-atlet bertaraf dunia dalam pelbagai lapangan sukan. Bola sepak adalah salah satu bidang sukan yang turut diberikan perhatian melalui program bersepadu yang dimulakan sejak 2004 ini.

Untuk bola sepak, Akademi Aspire memiliki satu program khas yang mencari bakat bola sepak dari seluruh dunia untuk diserap dan dibangunkan. Pemain-pemain yang dibawa masuk ke akademi ini adalah terdiri daripada bakat berusia 6-11 tahun.

Pusat Akademi Aspire yang terletak di Doha, Qatar.

Mereka akan melalui beberapa fasa lagi sebelum diserap masuk ke dalam akademi utama dalam usaha mereka mahu menjadi pemain elit negara itu suatu hari nanti. Sasaran utama kewujudan Akademi Aspire ialah untuk memastikan Qatar mempunyai skuad yang mampu memberikan cabaran kepada kuasa-kuasa bola sepak dunia yang lain di Piala Dunia 2022 yang dianjurkan oleh negara itu.

Persoalannya ialah, adakah pelaksanaan program seperti Akademi Aspire ini relevan untuk dilaksanakan di Malaysia? Untuk itu, mari kita lihat beberapa konteks dan kajian yang kami lakukan untuk menjawab pertanyaan ini.

1. Model untuk negara populasi kecil

Tujuan utama Akademi Aspire diwujudkan oleh Qatar ialah untuk melahirkan atlet elit di dalam bidang sukan masing-masing sejak dari usia muda lagi. Qatar tidak mempunyai penduduk asal yang ramai. Daripada 2.9 juta populasi di negara tersebut pada hari ini, penduduk asal Qatar hanya terdiri dari 11.6% atau bersamaan dengan 330,000 orang. Selebihnya adalah dari golongan imigran. Disebabkan itu, ia amat penting untuk mereka mengenalpasti bakat muda di dalam sukan, sebelum diasah untuk memastikan Qatar mampu berdiri sama tinggi dengan kuasa sukan dunia yang lain – termasuk di dalam bola sepak.

Pada 2007 – tiga tahun selepas dimulakan – Akademi Aspire melebarkan pencarian bakat di dalam bola sepak ke luar negara, atau secara spesifiknya ke seluruh rantau Afrika. Maghribi, Cameroon, Ghana, Kenya, Nigeria, Senegal dan Afrika Selatan adalah antara negara terawal terlibat dengan program ini, sebelum ia dilebarkan lagi kepada 17 negara keseluruhan pada tahun berikutnya.

Sumber: Bernama

Bagi sebuah negara dengan populasi kecil seperti Qatar, Akademi Aspire sebenarnya adalah jalan pintas untuk membangunkan bola sepak. Sebagai perbandingan, Malaysia mempunyai 28.98 juta penduduk bertaraf warganegara – jumlah yang hampir 100 kali ganda penduduk warganegara berbanding Qatar.

Soalan seterusnya sudah pasti ialah, mengapa kita perlu membangunkan pemain naturalisasi dari luar jika kita boleh membangunkan bakat tempatan sendiri? Uruguay (3.4 juta), Panama (4.09 juta), Croatia (4.15 juta) adalah antara negara yang memiliki populasi penduduk jauh lebih sedikit daripada Malaysia, tetapi masih mampu menyerlah di dalam bola sepak.

2. Bunuh program pembangunan negara

Tidak boleh dinafikan bola sepak negara pada hari ini tidak memiliki sistem pembangunan bola sepak yang mampan. Selain daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), rata-rata akademi bola sepak yang ditunjangi oleh persatuan-persatuan bola sepak negeri tidak mempunyai struktur dan hala tuju yang jelas. Namun ini tidak bermakna kita harus menidakkan kewujudan akademi-akademi yang telah ada sebelum ini.

Kenari Kids, program yang berada di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) misalnya telah berjaya melahirkan pemain bola sepak negara seperti Baddrol Bakhtiar, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad. Akademi JDT juga yang masih berusia kurang dari lima tahun, baru-baru ini berjaya mara ke separuh akhir kejohanan Singapore JSSL Profesional Academy 7’S pada April lalu.

Kedua-dua akademi bola sepak ini adalah contoh bagaimana bakat anak muda tempatan disemai untuk menjadi pemain profesional satu hari nanti. Mewujudkan sebuah akademi bola sepak dengan model Akademi Aspire tanpa kajian yang mendalam sudah pasti akan menghadkan laluan anak-anak muda tempatan. Pasukan-pasukan yang bersaing di Liga Malaysia juga pasti akan berlumba-lumba untuk mendahulukan bakat naturalisasi berbanding bakat tempatan sendiri.

Disebabkan kurangnya tenaga pakar di dalam aspek pembangunan bola sepak di dalam negara, akademi bercirikan Akademi Aspire ini pasti akan lebih cenderung untuk mengambil kepakaran dari luar. Selain daripada menutup ruang dan periuk nasi jurulatih tempatan sedia ada, langkah ini juga secara tidak langsung membuatkan ramai tenaga tempatan akan menjadi tidak lagi berminat untuk menceburkan diri di dalam aspek pembangunan.

3. Kos yang terlalu tinggi

Sejak program ‘Aspire Football Dreams’ dilancarkan pada 2008, 3.5 juta kanak-kanak telah melalui saringan dalam program ini. Pelatih terbaik akan dihantar untuk latihan susulan di Doha, atau di pusat latihan satelit yang turut disediakan di Senegal. 18 sehingga 20 pelatih yang berjaya di peringkat saringan akan diberikan biasiswa di dalam bentuk pendidikan percuma dan elaun bulanan. Ahli keluarga pelatih turut akan menerima US5,000 atau bersamaan dengan RM21,000 sebagai saguhati.

Ini bermakna sejak 2008, tidak kurang 200 pelatih kini berada di dalam sistem ‘Aspire Football Dreams’. Bayangkan kos yang perlu ditampung oleh kerajaan Qatar untuk melaksanakan program ini – semata-mata untuk melihat bola sepak negara tersebut mampu berdiri setanding negara-negara bola sepak yang lain.

Aspire Ghana

Ia adalah program yang ditaja sepenuhnya dan profesional, memiliki kelengkapan latihan untuk setiap peringkat umur pembangunan, dan tenaga jurulatih pakar yang memiliki pengalaman bersama kelab-kelab ternama Eropah.

Soalannya pula ialah, jika kita benar-benar bersedia untuk berbelanja sedemikian rupa diatas nama pembangunan, mengapa kita atau lebih tepat Kementerian Belia dan Sukan sebagai agensi pelaksana tidak melakukannya di kalangan bakat muda tempatan di seluruh negara?

4. Isu patriotik, demi lencana di dada

Tidak ada jaminan setiap pemain dari luar yang dibangunkan di Academy Aspire akan sanggup beraksi sebagai pemain naturalisasi untuk Qatar. Idea untuk menjadikan produk luar Akademi Aspire sebagai pemain naturalisasi untuk Qatar juga bukan agenda utama penubuhan akademi tersebut pada peringkat awalnya.

“Jika kami naturalisasikan beberapa pemain, apakah yang akan berlaku? Semua orang akan tampil membunuh kami. Kami tidak bodoh, begitu juga orang lain,” ujar Pengarah Program Akademi Aspire, Andreas Bleicher kepada Business Insider. Jadi mengapakah Qatar sanggup menanggung kos membiayai pendidikan dan membangunkan bakat dari negara lain? Apabila Bleicher berkata demikian, idea beliau ialah supaya pemain-pemain muda ‘anak jati’ Qatar ini mampu bersaing dan bertanding dengan bakat-bakat terbaik dari seluruh dunia – khususnya dari Afrika.

Kredit: Persatuan Bola Sepak Malaysia, Facebook

Hakikatnya Qatar pernah membiayai beberapa atlet dunia untuk mereka bertanding di bawah bendera negara itu. 23 daripada 39 atlet Qatar yang bertanding di Sukan Olimpik Rio pada 2014 misalnya adalah atlet kelahiran negara lain. Tatkala negara tersebut bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, naturalisasi sebenarnya bukan lagi langkah yang mahu disembunyikan Qatar.

Timbul pula persoalan lain. Adakah pemain-pemain ini benar-benar beraksi untuk negara yang dan bendera yang menaungi usaha mereka selama ini, atau pun kerana telah dibayar wang ringgit semata-mata. Bagaimana pula kesannya jika ia dilaksanakan di Malaysia?

5. Komplikasi naturalisasi, dan penerimaan masyarakat

Proses naturalisasi itu sendiri juga sebenarnya mempunyai pelbagai kompilasi, melibatkan proses-proses yang menyulitkan serta perlu melalui pelbagai peringkat birokrasi. Ini disebabkan peraturan yang berbeza di setiap peringkat agensi terlibat. Di peringkat FIFA misalnya, badan bola sepak dunia itu tidak membenarkan mana-mana pemain untuk bertukar negara yang diwakili sekiranya masih di bawah usia 18 tahun.

Artikel 19 Peraturan FIFA
Artikel 19 Peraturan FIFA
Artikel 19 Peraturan FIFA

Peraturan ini direka untuk melindungi kanak-kanak, atau pemain di bawah umur daripada dimanupulasi pihak yang tidak bertanggungjawab – termasuk aktiviti pemerdagangan manusia.

Bagi pemain yang sudah melangkaui umur 18 tahun pula, pemain dan persatuan boleh memohon status naturalisasi dari FIFA untuk beraksi dengan negara baharu selepas berada di sesebuah negara selama lima tahun. Ini bermakna, seseorang pemain naturalisasi akan berusia 23 tahun pada ketika pemain itu melakukan penampilan pertama dengan jersi negara baharu.

Untuk memperolehi kewarganegaraan penuh pula, seseorang pemain harus berada dan bekerja (bermain) di Malaysia selama 10 tahun sebelum diberikan taraf kewarganegaraan. Sebagai contoh pemain yang telah melalui proses tersebut ialah Mohamodou Sumareh.

Cadangan dan pandangan

Ada banyak lagi aspek-aspek lain yang turut boleh digariskan, seperti penerimaan masyaraka dan komuniti bola sepak di dalam negara terhadap pemain naturalisasi. Bolehkah rakyat Malaysia atau penyokong bola sepak amnya menghindarkan diri dari sikap xenophobia misalnya? Bola sepak di Malaysia sendiri hakikatnya belum keluar dari kepompong isu perkauman seperti yang timbul baru-baru ini. Bolehkah kita menerima pemain asing?

Ada banyak cara sebenarnya sekiranya YB Syed Saddiq dan KBS benar-benar serius mahu Malaysia ke Piala Dunia 2030 dengan cara yang lebih realistik. Pertamanya, wujudkan kerjasama mampan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) – yang kami percaya sudah ada berdasarkan perjumpaan-perjumpaan di antara dua pihak sebelum ini.

Keduanya, teruskan program NFDP sedia ada sebagai pusat pembangunan elit bakat-bakat bola sepak dari seluruh negara. Mungkin beberapa pengubahsuaian perlu dilakukan berdasarkan keperluan semasa, dan untuk tujuan kemaskini.

Langkah seterusnya ialah dengan menghulurkan bantuan kepada FAM untuk memastikan setiap persatuan-persatuan dan ahli gabungan badan induk bola sepak negara itu untuk memiliki akademi bola sepak sendiri – yang boleh bertindak sebagai pusat satelit kepada Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Pentadbiran akademi-akademi (satelit) ini boleh berada di bawah naungan FAM atau pun KBS sendiri. KBS setidak-tidaknya boleh membantu menyediakan fasiliti asas dan kemudahan yang diperlukan. Terpulang kepada KBS dan FAM bagaimana mahu menguruskan kos operasi akademi-akademi ini. Tetapi kami yakin ianya jauh lebih berbaloi untuk membina bakat anak muda tempatan daripada memberikan tumpuan kepada program naturaliasasi seperti kaedah diamalkan Qatar.

(Sumber: NFDP Malaysia – PPBN)

Selain daripada fasiliti, tenaga pakar juga merupakan salah satu perkara yang perlu diberikan penekanan. Tenaga pakar luar boleh diambil untuk tujuan sementara. Tetapi bukankah lebih baik sekiranya kita memiliki tenaga pakar kita sendiri?

Untuk ini, KBS dan FAM disaran untuk melatih seberapa ramai jurulatih-jurulatih bola sepak tempatan. Mereka boleh terdiri daripada bekas-bekas pemain, atau pun sesiapa sahaja yang memiliki minat mendalam di dalam bidang akar umbi. Perkasakan bidang kejurulatihan dengan serius. Hantar mereka berguru ke eropah, sekiranya perlu. Jadikan ia sebagai bidang profesional. Anda hanya akan boleh menghasilkan murid yang berkualiti sekiranya memiliki guru yang bermutu.

Seterusnya, adakan pertandingan bola sepak kompetitif untuk peringkat kebangsaan bagi setiap peringkat umur. Tidak ada gunanya kita menghasilkan pemain sekiranya mereka tidak boleh mendapatkan pendedahan kompetitif sewajarnya. Ia juga boleh dijadikan medan untuk menilai kemampuan pemain dari setiap akademi dari seluruh negara, sebelum anak-anak muda ini diserap masuk ke AMD untuk membentuk skuad elit.

Rumusan

Sekiranya, semua perkara yang dinyatakan diatas boleh dilaksanakan, kami yakin negara kita akan memiliki ‘pool’ pemain yang berkualiti di masa hadapan. Sudah tentu ia memerlukan masa dan juga kos yang tinggi untuk dilaksanakan. Tetapi jika YB Syed Saddiq dan KBS bersedia melakukan pelaburan dengan meniru formula yang oleh Akademi Aspire di Doha, maka kos sepatutnya bukan lagi satu isu.

Apa yang tertulis di artikel ini adalah gambaran keseluruhan dan realiti sebenar aspek pembangunan bola sepak di negara ini. Kami turut selitkan cadangan yang boleh dilaksanakan. Cadangan tetap akan kekal cadangan. Begitu juga dengan tulisan mahu pun kata-kata akan kekal sedemikian jika tidak diteruskan dengan tindakan. Hakikatnya, ia lebih mudah dilakukan daripada untuk dilaksanakan.

Sekali lagi kami mahu ajukan soalan, yakinkah anda program seperti Akademi Aspire boleh membantu Malaysia layak ke Piala Dunia 2030?

 

Nota Editor: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Semuanya Bola sebagai sebuah organisasi.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN